BEIRUT: Lapan orang maut manakala 13 yang lain cedera dalam serangan udara Israel di pinggir bandar selatan ibu negara Lubnan, Beirut, serta kawasan selatan negara itu pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi yang memetik agensi berita rasmi Lubnan, NNA.
Sekurang-kurangnya dua daripada mangsa maut manakala 11 yang lain cedera dalam serangan udara Israel di pinggir bandar selatan Beirut, menurut agensi berita itu.
Terdahulu pada hari sama, NNA melaporkan bahawa serangan itu “menyasarkan dua pangsapuri kediaman di dua bangunan di kawasan Hawta al-Ghadir, menyebabkan beberapa individu cedera.”
Wartawan Anadolu melaporkan jet pejuang Israel mengebom kawasan Dahiyeh tanpa sebarang amaran awal.
Dalam hantaran di platform X, jurucakap tentera Israel Avichay Adraee mendakwa tentera rejim menyasarkan sebuah kemudahan infrastruktur Hizbullah di kawasan berkenaan.
Kenyataan bersama oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel Katz mendakwa serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan roket Hizbullah ke utara Israel pada pagi Ahad.
Penyiar awam Israel, KAN, melaporkan bahawa Israel telah memaklumkan kepada Amerika Syarikat (AS) mengenai serangan itu sebelum pesawatnya mengebom kawasan berkenaan.
Serangan pada Ahad itu merupakan yang pertama ke atas ibu negara Lubnan sejak gencatan senjata dilanjutkan pada 3 Jun susulan rundingan dengan pengantaraan AS antara Israel dan Lubnan di Washington.
Menteri Kewangan Israel Bezalel Smotrich sebelum ini menggesa tentera melancarkan serangan ke atas kawasan Dahiyeh.
Dalam serangan berasingan di selatan Lubnan, enam orang terkorban manakala dua yang lain cedera dalam serangan udara ke atas beberapa kampung di kawasan Nabatieh.
Israel terus melancarkan serangan udara di Lubnan sejak serangan rentas sempadan oleh Hizbullah pada awal Mac, mengorbankan lebih 3,600 orang dan mencederakan lebih 11,000 yang lain sejak 2 Mac.
-- BERNAMA-ANADOLU