NEW YORK: Sekurang-kurangnya lapan terbunuh manakala 38 lagi cedera dalam beberapa insiden tembakan yang berlaku di seluruh Chicago, Amerika Syarikat (AS) sepanjang cuti hujung minggu yang panjang, menurut polis tempatan, lapor Xinhua.
Sekurang-kurangnya 24 insiden tembakan dilaporkan sejak 5 petang Jumaat dan mangsa yang terlibat berusia antara 14 hingga 70 tahun, menurut Jabatan Polis Chicago.
Jabatan itu memaklumkan, sekurang-kurangnya 12 orang cedera pada malam Jumaat selepas dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan dari sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) ke arah sekumpulan orang yang sedang berkumpul di bahagian selatan jauh Chicago.
Presiden AS, Donald Trump pada Ahad sekali lagi menggesa campur tangan ketenteraan di bandar ketiga terbesar negara itu.
"Mengapa Gabenor Pritzker tidak menghubungi saya untuk mendapatkan bantuan?
"Saya boleh menjadikan Chicago sebuah bandar yang selamat dalam MASA SATU BULAN. Dalam MASA SATU TAHUN, ia akan menjadi antara bandar paling selamat!!!" tulis Trump dalam satu hantaran di platform Truth Social pada pagi Ahad.
Pada 2025, Trump mengerahkan anggota Pengawal Kebangsaan untuk menjalankan misi membanteras jenayah di bandar-bandar yang ditadbir Parti Demokrat termasuk Chicago, namun langkah itu mendapat tentangan hebat.
Walaupun data Jabatan Polis Chicago menunjukkan sedikit peningkatan dalam jumlah insiden tembakan berbanding separuh pertama tahun lalu, kadar jenayah kekerasan secara keseluruhannya telah menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selaras dengan trend di peringkat nasional.
-- BERNAMA-XINHUA