ANKARA: Lapan individu terbunuh manakala seorang lagi cedera parah dalam beberapa insiden tembakan yang berlaku di wilayah Afyonkarahisar, barat Turkiye, pada Khamis.
Menurut laporan media tempatan, mangsa ditemukan di beberapa lokasi membabitkan tiga kenderaan berasingan, mencetuskan operasi besar-besaran pihak berkuasa untuk memburu suspek yang melarikan diri selepas serangan.
Agensi berita Anadolu melaporkan tiga mangsa ditemukan maut berhampiran kampung Ayazini, manakala tiga lagi terbunuh berhampiran kampung Kiyir.
Dalam insiden berasingan di Yukaritandir, dua wanita ditemui dalam keadaan cedera sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Media tempatan turut melaporkan dua daripada mangsa yang maut merupakan guru.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang disiarkan media Turkiye menunjukkan seorang lelaki berkaca mata, memakai jaket hitam dan seluar putih, memegang senjata panjang berhampiran sebuah van berwarna merah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Suspek dilaporkan melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan yang dipercayai dirampas sebelum meninggalkannya selepas ia tersangkut dalam lumpur dan meneruskan pelarian dengan berjalan kaki.
Polis kemudian melancarkan operasi memburu di beberapa kawasan sekitar sebelum mengumumkan penahanan suspek di wilayah Eskisehir, yang terletak berhampiran Afyonkarahisar.
Pihak berkuasa turut menutup beberapa jalan menuju ke kampung yang terjejas sepanjang operasi keselamatan dijalankan.
Dalam kenyataan menerusi media sosial, Pejabat Gabenor Afyonkarahisar memaklumkan semua agensi kerajaan yang berkaitan telah digerakkan sejak awal kejadian dan bekerjasama rapat bagi menjalankan siasatan serta langkah keselamatan yang diperlukan.
Motif serangan masih dalam siasatan dan pihak berkuasa belum mendedahkan hubungan antara suspek dengan mangsa.