BANGKOK: Lapan maut manakala empat lagi cedera apabila sebuah kereta api barang bertembung dengan sebuah trak pikap di persimpangan kereta api di wilayah timur Chachoengsao pada Jumaat.

State Railway of Thailand (SRT) dalam satu kenyataan, berkata lima lelaki dan tiga wanita berusia antara 18 dan 64 tahun, maut dalam kemalangan 2.20 pagi (waktu tempatan).

Mangsa yang cedera ialah empat lelaki berusia antara 20 hingga 26 tahun dengan seorang daripadanya dalam keadaan serius.

SRT berkata pemandu trak pikap berusia 54 tahun itu memberitahu pihak berkuasa bahawa beliau membawa sekumpulan pekerja dari Wat Buaroy di daerah Lat Krabang Bangkok ke sebuah kawasan ternakan ikan di Khlong Udom Cholachorn.

Kenyataan itu berkata pemandu berkenaan melihat tren semakin dekat dan beliau memperlahankan kelajuan. Bagaimanapun, beliau didesak oleh penumpang untuk meneruskan perjalanan.

"Pemandu menyedari trak pikap berkenaan akan berlanggar tetapi beliau tidak dapat mengelaknya. Kereta api itu melanggar bahagian belakang trak pikap tersebut," menurut kenyataan itu.

Seorang mangsa yang terselamat, Surapat Prasop, 20, berkata, beliau melompat keluar daripada kenderaan selepas menyedari kenderaan tersebut akan gagal melepasi landasan tepat pada masanya.

"Beliau mendengar wisel kereta api, tetapi pemandu itu cuba menyeberang," kenyataan itu memetiknya sebagai berkata.

Sementara itu, Gabenor SRT Nirut Maneephan melawat lokasi kemalangan pada Jumaat.

Beliau berkata SRT telah mengambil langkah untuk meningkatkan tahap keselamatan termasuk memasang papan tanda di persimpangan kereta api.

-- BERNAMA