Skip to main content

Dunia

Lapan negara majoriti Islam gesa Israel hentikan penutupan pintu masjid al-Aqsa

A drone view of Jerusalem and the Al-Aqsa compound, also known to Jews as the Temple Mount, during sunrise on the first Friday during the Muslim holy fasting month of Ramadan, in Jerusalem's Old City February 20, 2026. REUTERS/Ilan Rosenberg TPX IMAGES OF THE DAY
Dalam satu kenyataan bersama, menteri luar Indonesia, Mesir, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu turut menggesa Israel menarik balik sekatan akses ke Kota Lama Baitulmuqaddis serta tidak menghalang umat Islam daripada memasuki masjid itu. -Gambar fail/Reuters

JAKARTA: Menteri-menteri luar dari negara yang majoriti penduduk beragama Islam menggesa Israel supaya segera menghentikan penutupan pintu masuk kompleks Masjid Al-Aqsa, sambil mengecam tindakan berterusan menutup kawasan itu kepada umat Islam, khususnya pada bulan suci Ramadan.

Dalam satu kenyataan bersama, menteri luar Indonesia, Mesir, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu turut menggesa Israel menarik balik sekatan akses ke Kota Lama Baitulmuqaddis serta tidak menghalang umat Islam daripada memasuki masjid itu.

Advertisement

Mereka juga menggesa masyarakat antarabangsa mengambil pendirian tegas bagi memaksa Israel menghentikan pelanggaran berterusan serta amalan haram terhadap tapak suci Islam dan Kristian di Baitulmuqaddis, selain pelanggaran terhadap kesucian tempat-tempat suci berkenaan.

Semua menteri luar itu menegaskan penolakan dan kecaman mutlak mereka terhadap apa yang disifatkan sebagai langkah menyalahi undang-undang dan tidak wajar, selain tindakan provokatif berterusan terhadap umat Islam serta menegaskan bahawa Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Baitulmuqaddis yang diduduki atau tapak suci Islam dan Kristian.

“Sekatan keselamatan terhadap akses ke Kota Lama Baitulmuqaddis dan tempat ibadatnya, selain sekatan akses yang bersifat diskriminasi dan sewenang-wenangnya ke atas tempat ibadat lain di kota lama itu, merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa, status quo sejarah dan undang-undang, serta prinsip akses tanpa sekatan ke tempat ibadat,” menurut kenyataan bersama itu.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial Kementerian Luar Indonesia pada Khamis.

Semua menteri luar itu turut menegaskan bahawa keseluruhan kawasan Masjid Al-Aqsa yang berkeluasan 144 dunam (144,000 meter persegi) merupakan tempat ibadat khusus bagi umat Islam.

Mereka menambah bahawa Jabatan Wakaf Baitulmuqaddis dan Hal Ehwal Masjid Al-Aqsa yang bernaung di bawah Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Jordan merupakan entiti sah yang mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk mentadbir urusannya serta mengawal selia kemasukan ke kawasan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video