Lapan termasuk enam kanak-kanak maut dalam kebakaran di sebuah pangsapuri di Chicago awal pagi Ahad, salah satu kebakaran paling dahsyat di bandar ketiga terbesar di negara ini.

Menurut Jabatan Bomba Chicago, dua lagi mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sedang menjalani rawatan.

Pegawai Jabatan Bomba Chicago, Jose Santiago memaklumkan kepada pemberita bahawa salah seorang kanak-kanak yang dilaporkan maut itu ialah seorang bayi yang baru lahir.

"Ini merupakan kejadian yang dahsyat sejak beberapa tahun lalu berdasarkan kepada jumlah kematian dan kecederaan yang terjadi di satu lokasi yang sama," katanya.

Santiago berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4 dan sekurang-kurangnya dua bangunan terbakar.

Kesemua yang terkorban tinggal di rumah yang sama dan identiti kesemua mangsa belum dikeluarkan selain punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sekurang-kurangnya seorang anggota bomba dilaporkan cedera lalu dikejarkan ke hospital dan dilaporkan stabil.