ISTANBUL: Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh, Arab Saudi menyambung semula sebahagian operasi penerbangan pada Ahad selepas digantung selama kira-kira dua minggu susulan serangan kumpulan Houthi dari Yaman.
Menurut Anadolu Ajansi yang memetik Al Arabiya, penyiar Arab Saudi itu turut menyiarkan rakaman suasana di dalam dua terminal lapangan terbang berkenaan yang telah dibuka semula.
Stesen televisyen kerajaan AlEkhbariya melaporkan, Terminal 1 kembali beroperasi bagi penerbangan domestik, manakala Terminal 2 dibuka semula untuk penerbangan antarabangsa yang dikendalikan syarikat penerbangan Arab Saudi.
Menurut stesen itu, penyambungan semula operasi berkenaan dibuat selepas penyelarasan rapi antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dengan agensi keselamatan dan teknikal bagi memastikan kesiapsiagaan lapangan terbang serta pematuhan terhadap piawaian keselamatan.
Bagaimanapun, pembukaan semula itu hanya melibatkan dua terminal berkenaan, tanpa sebarang pengumuman mengenai operasi pada kapasiti penuh.
Pihak pengurusan lapangan terbang tidak mengeluarkan kenyataan baharu berhubung penyambungan semula penerbangan selepas memaklumkan pada Sabtu mengenai penetapan kedua-dua terminal itu bagi perkhidmatan domestik dan antarabangsa.
Menerusi notis berkenaan, penumpang yang mempunyai tempahan dinasihatkan supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk menyemak status tempahan dan penerbangan sebelum menuju ke lapangan terbang.
Operasi penerbangan digantung susulan serangan Houthi terhadap lapangan terbang itu pada 10 Okt yang mengorbankan 13 nyawa dan mencederakan lebih 300 orang.
Ketika operasi penerbangan disambung semula, jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree mengulangi amaran kepada syarikat penerbangan, pekerja dan penumpang supaya tidak menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, menurut Anadolu.
"Lapangan terbang itu tidak selamat kerana menjadi sasaran pasukan kami," kata Saree dalam satu kenyataan sambil memberi amaran bahawa kumpulan itu akan meneruskan operasi terhadap lapangan terbang berkenaan.
Beliau berkata, pihak berkuasa Arab Saudi bertanggungjawab terhadap keputusan membuka semula lapangan terbang itu serta sebarang akibat yang mungkin timbul.
Selain sektor penerbangan, kumpulan itu turut menyasarkan kemudahan tenaga Arab Saudi.
-- BERNAMA-ANADOLU