Lapangan terbang utama AS gantung penerbangan akibat kekurangan pengawal trafik

Bermula bulan ini, kira-kira 13,000 pengawal trafik udara dan 50,000 kakitangan Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) terus bekerja tanpa gaji. - Gambar hiasan/ Reuters
WASHINGTON: Beberapa lapangan terbang utama di Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengeluarkan arahan penggantungan sementara atau kelewatan penerbangan berikutan kekurangan kakitangan kawalan trafik udara, mencerminkan kesan yang semakin meluas akibat penutupan kerajaan persekutuan yang kini memasuki hari ke-23, lapor Xinhua.
Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan Washington (DCA) yang terletak berhampiran ibu negara AS mengeluarkan program kelewatan penerbangan, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty (EWR) di New Jersey, Lapangan Terbang LaGuardia (LGA) di New York dan Lapangan Terbang Antarabangsa George Bush di Houston mengenakan arahan penggantungan sementara berikutan kekurangan kakitangan, sekali gus menghentikan semua pelepasan buat sementara waktu.
Menurut maklumat terkini daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pelepasan ke Lapangan Terbang Nasional Ronald Reagan Washington ditangguhkan secara purata selama 31 minit setakat 9.30 malam Khamis (0130 GMT Jumaat).
Data daripada portal FlightAware menunjukkan lebih 5,000 penerbangan dalam, ke, atau dari AS mengalami kelewatan dengan 80 pembatalan.
Bermula bulan ini, kira-kira 13,000 pengawal trafik udara dan 50,000 kakitangan Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) terus bekerja tanpa gaji. TSA bertanggungjawab terhadap pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang AS.
Ketika dua parti politik terus saling menyalahkan, terdapat kemungkinan besar penutupan kerajaan itu akan berlanjutan hingga November, malah mungkin ke musim cuti hujung tahun.
"Kami khuatir akan berlaku kelewatan, gangguan dan pembatalan penerbangan yang ketara di lapangan terbang utama di seluruh negara pada musim cuti kali ini," kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt pada Khamis.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


