WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengecam retorik China mengenai kemungkinan lawatan Speaker Dewan AS, Nancy Pelosi ke Taiwan.

Washington turut berikrar tidak akan termakan umpan dan tidak berminat untuk meningkatkan ketegangan dengan China.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara White House, John Kirby berkata keputusan untuk mengadakan lawatan ke Taiwan adalah hak Pelosi.

Jelasnya ahli kongres sememangnya kerap melawat Taiwan sebelum ini.

Dalam pada itu, Kirby berkata pegawai pentadbiran bimbang Beijing akan menggunakan lawatan itu sebagai alasan untuk mengambil tindak balas provokatif.

Ini termasuk tindakan ketenteraan China seperti menembak peluru berpandu di Selat Taiwan atau sekitar negara itu.

Sementara itu, pentadbiran AS mengecam China ketika Pelosi mengadakan perbincangan dengan pegawai di Singapura menandakan permulaan jelajah Asianya, pada Isnin.

BACA: Lawatan Pelosi: Hubungan AS-China penting demi keamanan, keselamatan serantau - PM Singapura

Walaupun tiada pengumuman rasmi, media tempatan di Taiwan melaporkan Pelosi akan tiba pada Selasa malam.

Ini menjadikan Pelosi pegawai tertinggi AS yang dilantik untuk melawat dalam tempoh lebih 25 tahun.

The United Daily News, Liberty Times dan China Times, tiga akhbar nasional terbesar Taiwan memetik sumber tidak dikenali sebagai berkata Pelosi akan tiba di Taipei selepas melawat Malaysia.

Perkara itu mencetuskan kemarahan Beijing yang menganggap Taiwan sebagai wilayahnya sendiri dan telah berulang kali memberi amaran tentang "akibat serius" jika lawatan itu diteruskan.

Presiden China, Xi Jinping juga memberi amaran kepada AS agar tidak campur tangan dalam urusan Beijing dengan pulau itu dalam panggilan telefon minggu lalu dengan Presiden Joe Biden.

China terus meningkatkan tekanan diplomatik dan ketenteraan ke atas Taiwan.

Ancaman tindakan balas terhadap lawatan Pelosi telah mendorong kebimbangan mengenai krisis baharu di Selat Taiwan yang boleh menjejaskan pasaran global dan rantaian bekalan.