INTERNATIONAL
Lawatan Trump tegaskan hubungan strategik AS-Arab Saudi - Menteri Luar

Faisal berkata, kerjasama pertahanan dan keselamatan selama beberapa dekad antara Arab Saudi dan AS akan terus diperkukuh. - Bernama
RIYADH: Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Arab Saudi mengesahkan perkongsian strategik yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara, kata Menteri Luar Arab Saudi Faisal bin Farhan.
Bercakap pada sidang media di sini pada Rabu, beliau berkata kerjasama pertahanan dan keselamatan selama beberapa dekad antara Arab Saudi dan AS akan terus diperkukuh.
Beliau berkata usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan lagi perdagangan dua hala, menonjolkan hubungan ekonomi yang kukuh dan strategik antara kedua-dua negara.
"Pelaburan Arab Saudi di Amerika Syarikat dipandu oleh kepentingan nasional Kerajaan," katanya.Mengenai isu serantau, Faisal berkata Arab Saudi dan Amerika Syarikat berkongsi pendirian sama mengenai kepentingan menamatkan konflik di Gaza serta menyambut baik keputusan Trump untuk menarik balik sekatan ke atas Syria.
"Pertemuan antara Putera Mahkota, Presiden Trump, (Naib Presiden Syria) Farouk al-Sharaa dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menekankan kepentingan menyokong Syria," katanya, sambil menambah bahawa Arab Saudi akan memainkan peranan utama dalam menyokong ekonomi Syria.
Terdahulu, pemimpin Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Presiden Trump mengadakan Sidang Kemuncak GCC-AS di ibu negara Arab Saudi bagi membincangkan isu utama serantau dan global serta memperkukuh kerjasama merentasi pelbagai sektor.
Sidang kemuncak yang dihoskan Arab Saudi itu bertepatan dengan lawatan Trump ke negara itu, sekali gus menggariskan kepentingan strategik perkongsian GCC-AS dalam menangani cabaran mendesak di Timur Tengah.
GCC dianggotai enam negara - Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sidang kemuncak GCC-AS sebelum ini diadakan pada 2022, 2017, 2016 dan 2015.
Trump yang tiba di Riyadh pada pagi Selasa turut menyertai Forum Pelaburan Arab Saudi-AS semasa berada di negara itu.
Dari Riyadh, Trump dijadual meneruskan lawatan ke Doha, Qatar pada 14 Mei dan ke Abu Dhabi, UAE pada 15 Mei.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami