PUTRAJAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan inisiatif Haji Lestari iaitu sebuah program kitar semula dan kitar tinggi menggunakan kain ihram terpakai oleh para jemaah haji bagi memupuk budaya sifar sisa serta menyokong usaha memelihara kelestarian alam sekitar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, kain ihram yang digunakan para jemaah lelaki, lazimnya hanya disimpan atau dibuang selepas musim haji.
Advertisement
Katanya, melalui inisiatif ini, tekstil terbiar dapat dimanfaatkan semula untuk masyarakat dan alam sekitar, di samping meningkatkan kesedaran jemaah haji terhadap tanggungjawab bersama bagi menjayakan haji yang lebih bersih serta lestari.
“Ibadah haji yang menjadi rukun kepada muslim yang berkemampuan mempunyai impak transformasi yang signifikan kepada para dhuyufurrahman dan inisiatif terbaharu dari TH ini bertepatan dengan tuntutan Maqasid Syariah dalam memperkasa usaha bagi memelihara serta memulihara ekosistem alam sekitar,” katanya.
Beliau juga berkata, inisiatif Haji Lestari ini akan dilaksanakan melalui dua fasa iaitu di Tanah Suci dan Malaysia.
Katanya, pelaksanaan di Tanah Suci memfokuskan kepada inisiatif kitar semula melalui pengumpulan dan pemprosesan kain ihram terpakai di Tanah Suci.
Lokasi pengumpulan disediakan di bangunan penginapan jemaah haji di Mekah dan perkhemahan Mina bagi memudahkan para jemaah menyumbang kain ihram mereka yang tidak dicadang untuk dibawa pulang setelah selesai urusan ibadat haji.
“Lokasi pengumpulan disediakan di bangunan penginapan jemaah haji di Mekah dan perkhemahan Mina bagi memudahkan para jemaah menyumbang kain ihram mereka yang tidak dicadang untuk dibawa pulang setelah selesai urusan ibadat haji," katanya ketika Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Kursus selama dua hari satu malam ini merupakan kemuncak kursus haji lanjutan daripada siri Kursus Asas dan Kursus Intensif, bagi memperkukuh kefahaman berkaitan manasik (tatacara pelaksanaan) haji kepada bakal jemaah haji terpilih
pada musim ini sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Beliau turut menasihatkan para jemaah untuk sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri, di samping berwaspada serta mematuhi segala arahan yang ditetapkan oleh TH.
Penerbangan ke Tanah Suci akan bermula dari 18 April hingga 20 Mei 2026 manakala penerbangan pulang dari Tanah Suci bermula dari 4 hingga 30 Jun 2026.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan untuk membawa seramai 31,600 jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci untuk tahun ini.