Pendirian Malaysia berhubung isu keselamatan di Laut China Selatan (LCS) agar ia diselesaikan secara rundingan turut dipersetujui oleh semua negara pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-11 di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semua negara termasuk China telah memberikan komitmen untuk mematuhi Deklarasi Tata laku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) dan Pemakaian Kod Tata Laku di Laut China Selatan (COC) yang akan dirumuskan tahun depan.

"EAS kali ini merupakan suasana yang positif dalam kita membincangkan hal-hal berkaitan rantau ini dan juga di peringkat antarabangsa.

"Kita melihat ada keinginan yang positif dalam mencari penyelesaian dalam soal pertindihan di Laut China Selatan," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Anggota EAS terdiri daripada negara-negara ASEAN dan Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Rusia.

Isu berkaitan LCS kebelakangan menjadi isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama seperti perkembangan di wilayah maritim itu, keganasan dan ekstremisme, keselamatan maritim dan isu-isu keselamatan yang lain.

Najib berkata semua negara juga bersetuju supaya tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan di wilayah maritim itu.

"Semua negara termasuk China telah beri komitmen untuk mematuhi DOC dan bekerja keras supaya COC ini dirumuskan pada pertengahan tahun hadapan," katanya.

Selain itu, Najib berkata negara-negara anggota EAS juga bersetuju dengan pelaksanaan Kod Pertembungan Tidak terancang di Laut (CUES) dan Garis Panduan Talian Bebas dalam kalangan pegawai kanan Kementerian Luar negara anggota ASEAN dan China digunakan jika berlaku kecemasan di wilayah maritim itu.

Selain itu, Najib yang mengetuai delegasi Malaysia pada sidang itu berkata dalam intervensi, beliau turut menekankan soal berkaitan keganasan dan perspektif keganasan yang perlu ditangani bermula daripada puncanya.

"Perspektif Malaysia atas soal keganasan kena melihat kepada penyelesaian secara komprehensif, tidak melalui satu dimensi sahaja. Tidak kurang pentingnya perasaan umat (seperti) di Syria, Iraq dan Libya dan beberapa negara lain yang dalam keadaan kehancuran dan soal penyelesaian isu Palestin yang tidak menampakkan penyelesaiannya," katanya.

Najib berkata keadaan demikian (pergolakan di negara berkenaan) telah membakar perasaan sebahagian daripada umat Islam terutamanya golongan muda dan kemudiannya mereka bertindak melakukan sesuatu perkara yang tidak boleh diterima.

"Tindakan itu tidaklah merupakan tindakan yang boleh diterima, maknanya membunuh orang awam adalah disisi agama. Kalau nak selesaikan perkara ini, tidak boleh lihat tindakan menangkap mereka tetapi puncanya," katanya.

Najib berkata konsep kesederhanan Malaysia dalam semua perkara juga ditekankan lima negara lain - Australia, Brunei, Kemboja, Thailand dan New Zealand.

Laos memecahkan tradisi apabila memutuskan untuk mengadakan Sidang Kemuncak ASEAN ke-28 dan ke-29, selain turut mengadakan sidang-sidang berkaitan.

Ini merupakan Sidang Kemuncak ASEAN yang pertama diadakan selepas pewujudan Komuniti ASEAN pada 31 Dis 2015, dan selepas 'ASEAN 2025: Maju Bersama (Visi ASEAN 2025)' diterima pakai, kedua-duanya dimuktamadkan semasa Malaysia menjadi pengerusi perkumpulan itu.

Pada sidang-sidang berkaitan hari ini, Perdana Menteri turut mengetuai Malaysia dalam sidang EAS, Sidang ASEAN-India dan Sidang ASEAN-Amerika Syarikat.