LDP, Parti Inovasi Jepun capai persefahaman dasar untuk bentuk pakatan

LDP menerusi ketua partinya, Sanae Takaichi (dua dari kanan) akan menandatangani rjanjian pakatan pada Isnin, dengan Ketua JIP Hirofumi Yoshimura. - Gambar AP
TOKYO: Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah Jepun dan Parti Inovasi Jepun (JIP) yang merupakan parti pembangkang utama telah bersetuju untuk membentuk sebuah pakatan, dengan JIP akan memberikan sokongan dari luar Kabinet, menurut pegawai kanan kedua-dua parti pada Sabtu, lapor Kyodo News.
Ketua JIP, Hirofumi Yoshimura dan Ketua LDP, Sanae Takaichi dijangka menandatangani perjanjian pakatan pada Isnin.
Langkah itu menandakan fasa baharu dalam landskap politik pelbagai parti Jepun selepas parti Komeito menarik diri daripada kerjasama selama 26 tahun bersama LDP.
Dengan JIP merancang untuk mengundi Takaichi - yang dipilih sebagai Presiden LDP pada 4 Okt dalam undian Parlimen Selasa ini bagi memilih Perdana Menteri baharu, pemilihannya yang akan menjadikannya perdana menteri wanita pertama Jepun, hampir pasti.Namun, Takaichi dijangka berdepan laluan sukar untuk melaksanakan dasar konservatifnya kerana pemerintahannya masih kekurangan majoriti 233 kerusi dalam Dewan Perwakilan yang mempunyai 465 kerusi, walaupun selepas LDP dan JIP bekerjasama.
Beberapa hari selepas Komeito yang berhaluan tengah dan menggelar dirinya sebagai "parti keamanan" menarik diri daripada pakatan dengan LDP, Takaichi dan Yoshimura - yang juga Gabenor Osaka - berikrar pada Rabu untuk memulakan rundingan dasar dengan kemungkinan membentuk kerajaan baharu.
Pegawai kanan kedua-dua parti bersetuju pada Jumaat di Tokyo bahawa LDP akan berusaha merealisasikan cadangan JIP untuk menurunkan kadar cukai penggunaan makanan kepada sifar daripada kadar semasa sehingga 10 peratus serta memansuhkan sumbangan korporat dan organisasi.
LDP juga menerima tuntutan Yoshimura untuk mengurangkan jumlah kerusi Parlimen, yang digambarkannya sebagai "syarat tidak boleh dirunding" untuk menyertai pakatan.
Kedua-dua parti merancang untuk mengemukakan rang undang-undang berkaitan pada sesi Parlimen khas yang dijadualkan bermula Selasa ini.
Dalam mesyuarat dasar pertama mereka, Takaichi menjemput JIP menyertai Kabinet.
Namun, beberapa Ahli Parlimen JIP berkata, lebih baik menunggu sehingga kemajuan dasar menjadi jelas, menjadikan kemungkinan parti itu menyertai Kabinet selain daripada peranan penasihat kepada perdana menteri adalah tipis.
Kedua-dua parti akan menubuhkan sebuah badan perundingan untuk melaksanakan perjanjian pakatan.
Sebagai sebahagian daripada blok pemerintah, JIP akan turut serta dalam perbincangan awal mengenai rang undang-undang kerajaan, dengan Yoshimura berkata, matlamat utama adalah melaksanakan dasar dan bukannya mendapatkan jawatan dalam Kabinet.
Mengenai isu pengurangan cukai penggunaan makanan kepada sifar, LDP dan JIP mengesahkan bahawa mereka akan meneruskan rundingan sambil menyasarkan untuk menamatkan sumbangan korporat dan organisasi menjelang September 2027, apabila tempoh Takaichi sebagai presiden parti tamat.
LDP telah memberi mandat kepada Takaichi untuk menguruskan perkara berkaitan pakatan, manakala JIP akan mengadakan mesyuarat lembaga eksekutif di Osaka pada Ahad dan sesi pleno ahli parlimen keesokan harinya sebelum memberi kelulusan akhir terhadap perjanjian dengan LDP.
Dalam Dewan Perwakilan, LDP memegang 196 kerusi, Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDPJ) sebagai pembangkang utama memiliki 148 kerusi, JIP 35 kerusi dan Komeito 24 kerusi. Jika LDP - sebagai blok terbesar di Parlimen - dan JIP membentuk pakatan, jumlah kerusi mereka akan menjadi 231.
CDPJ sedang merancang untuk menyokong ketuanya, Yoshihiko Noda, bekas Perdana Menteri.
Walaupun pengundian Perdana Menteri di Diet berlangsung dalam dua pusingan antara dua calon teratas, Takaichi dijangka menang kerana parti-parti lain dilihat akan menyokong ketua mereka sendiri.
Komeito, yang disokong oleh organisasi Buddha awam terbesar Jepun, Soka Gakkai - yang keahliannya menurun akibat populasi menua - telah mengkritik LDP berhubung skandal dana politik berprofil tinggi yang menjejaskan populariti blok pemerintah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami