Skip to main content

Malaysia

Sabah capai 98.7 peratus liputan internet di kawasan berpenduduk

61769005837_JamesRatib.jpg
James berkata hasil daripada pelaksanaan inisiatif pelan JENDELA di Sabah sebanyak 663 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi, manakala semua 5,304 stesen pemancar sedia ada turut dinaik taraf. - Gambar fail

KOTA KINABALU: Sehingga 28 Feb lepas, Sabah telah mencapai 98.7 peratus liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk, meningkat ketara berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata pencapaian itu merupakan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memperkukuh infrastruktur digital negara termasuk di Sabah.

Advertisement

Beliau berkata hasil daripada pelaksanaan inisiatif pelan JENDELA di Sabah sebanyak 663 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi, manakala semua 5,304 stesen pemancar sedia ada turut dinaik taraf.

“Terdapat 335,254 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik dan 138 lokasi dapat menikmati perkhidmatan internet menggunakan teknologi satelit dikenali sebagai Broadband Wireless Access,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Alias Sani (Warisan-Sekong), yang mahukan penjelasan tentang pelan induk kerajaan untuk memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan dengan ekonomi digital.

Bagi DUN Sekong, James berkata tiga menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi, selain 98 stesen pemancar sedia ada turut dinaik taraf sepenuhnya.

Beliau berkata kerajaan turut menyediakan capaian internet secara kolektif melalui 1,099 rangkaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara termasuk 131 pusat yang kini beroperasi di Sabah.

Selain itu, katanya, pelaksanaan projek Point of Presence (POP) turut diperluas bagi meningkatkan capaian jalur lebar melalui penyediaan hab gentian optik berhampiran sekolah serta kawasan perindustrian.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah Datuk Seri Dr Ruddy Awah berkata kerajaan negeri sedang melaksanakan kerja menaik taraf paip pembetungan di sekitar bandar raya Kota Kinabalu dengan menggunakan teknologi Cured-In-Place Pipe (CIPP).

"Projek di bawah Program Skim Pembetungan Kota Kinabalu itu menggunakan kaedah CIPP bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan tanpa penggalian terbuka sekali gus mengurangkan gangguan kepada orang awam serta memastikan sistem berfungsi lebih efisien dalam jangka panjang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Loi Kok Liang (Warisan-Api-Api) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang menaik taraf sistem pembetungan di kawasan bandar.

Ruddy berkata teknologi berkenaan mampu memanjangkan jangka hayat paip pembetungan sehingga kira-kira 50 tahun selain menjadi penyelesaian mampan, efisien dan kos efektif.

Selain itu, katanya, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut merancang penambahbaikan aset termasuk penggunaan robotik CCTV bagi tujuan pemeriksaan serta pemantapan paip seterusnya bagi memastikan sistem pembetungan terus berfungsi dengan baik dan selamat.

“Masalah utama sistem pembetungan tersumbat di kawasan bandar berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang membuang sampah serta bahan FOG (lemak, minyak dan gris),” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video