Skip to main content

Dunia

Lebih 1,800 ditahan susulan protes Ves Kuning di Perancis bertukar ganas

Polis Paris mengumumkan 855 tangkapan, manakala pihak pendakwa raya secara berasingan melaporkan 720 tangkapan, termasuk 517 individu yang ditahan dalam tahanan polis. - Reuters
Polis Paris mengumumkan 855 tangkapan, manakala pihak pendakwa raya secara berasingan melaporkan 720 tangkapan, termasuk 517 individu yang ditahan dalam tahanan polis. - Reuters

Advertisement

ISTANBUL: Kira-kira 1,800 orang ditahan semasa dan selepas protes membantah peningkatan kos sara hidup di seluruh Perancis yang melibatkan kumpulan Ves Kuning, susulan pertempuran, perbuatan khianat menggunakan api dan kegiatan rompakan secara berleluasa, kata Menteri Dalam Negeri Laurent Nunez pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

Nunez menerusi platform media sosial X berkata lebih 500 anggota polis, polis tentera dan bomba cedera dalam kejadian itu.

Beliau berkata jumlah mangsa yang cedera itu masih belum dimuktamadkan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab, manakala ratusan premis perniagaan mengalami kerosakan harta benda yang besar.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, demonstrasi pada Sabtu itu disertai 550,000 orang di seluruh negara, termasuk 110,000 di Paris. Bagaimanapun, penganjur menganggarkan jumlah peserta kira-kira 800,000 orang.

Protes itu menghimpunkan kumpulan Ves Kuning, kesatuan sekerja, pelajar dan petani. Walaupun perarakan utama di Paris berlangsung tanpa sebarang insiden besar, keganasan tercetus di luar kawasan demonstrasi di beberapa bandar.

Seorang penunjuk perasaan meninggal dunia selepas rebah di Boulevard Magenta, Paris, dengan polis melaporkan individu itu mengalami serangan jantung dan pernafasan.

Akhbar Le Parisien turut melaporkan seorang remaja berusia 17 tahun kehilangan sebelah tangan selepas terkena bom tangan yang digunakan polis di Saint-Etienne.

Polis Paris mengumumkan 855 tangkapan, manakala pihak pendakwa raya secara berasingan melaporkan 720 tangkapan, termasuk 517 individu yang ditahan dalam tahanan polis, sambil memaklumkan bahawa angka berkenaan masih belum dimuktamadkan.

Di Limoges, kebakaran memusnahkan bangunan dewan bandar raya yang bersejarah. Kedai turut dirompak dan bangunan mengalami kerosakan di beberapa bandar termasuk Marseille, Lyon dan Bordeaux.

Perdana Menteri Sebastien Lecornu dijadual mempengerusikan mesyuarat krisis antara kementerian pada 7 malam Ahad bagi menangani kesan ekonomi, isu insurans dan tindakan susulan kehakiman.

Beliau juga akan bertemu dengan datuk bandar Paris, Marseille dan Lyon yang menuntut penjelasan berhubung kawalan anggota polis serta serta cara pihak berkuasa menangani kekacauan itu.

Presiden Perhimpunan Kebangsaan Yael Braun-Pivet sedang mempertimbangkan penubuhan sebuah suruhanjaya siasatan Parlimen dan akan bertemu dengan ketua kumpulan Parlimen pada Selasa, lapor BFMTV.

Lecornu menyalahkan golongan "kiri ekstrem" atas keganasan itu, manakala tokoh pembangkang mengkritik taktik yang digunakan polis.

Ahli politik Parti Hijau Marine Tondelier pula menggesa Nunez meletakkan jawatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Carrefour Alexandre Bompard berkata lebih 50 cawangan pasar raya itu terjejas, dengan kerugian dianggarkan mencecah beberapa juta euro.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement