Lebih 2,000 penerbangan dibatalkan di seluruh AS susulan penutupan kerajaan

Papan maklumat memaparkan jadual penerbangan American Airlines, selepas syarikat penerbangan membatalkan penerbangan di 40 lapangan terbang utama, di Lapangan Terbang Antarabangsa Logan, Boston, Massachusetts, 7 Nov 2025. REUTERS
HAMILTON/ISTANBUL: Kekurangan kakitangan di pusat kawalan trafik udara Amerika Syarikat (AS) serta arahan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) untuk mengurangkan empat peratus penerbangan di 40 lapangan terbang utama telah mengakibatkan lebih 2,000 penerbangan dibatalkan pada Jumaat hingga Ahad.
Ringkasan AI
- Lebih 2,000 penerbangan dibatalkan di AS dari Jumaat hingga Ahad disebabkan kekurangan kakitangan di pusat kawalan trafik udara serta pengurangan penerbangan di 40 lapangan terbang utama seperti yang diarahkan oleh FAA.
- Syarikat penerbangan seperti SkyWest, Southwest, dan Envoy Air menghadapi kadar pembatalan tertinggi manakala United, Delta, dan American Airlines mengalami kelewatan ketara, menimbulkan kesan besar terhadap perjalanan udara di AS.
- Setiausaha Pengangkutan AS, Sean Duffy, memberi amaran bahawa jika penutupan kerajaan berterusan, kadar pengurangan penerbangan mungkin meningkat hingga 20 peratus disebabkan oleh krisis kekurangan tenaga kerja dalam kalangan pengawal trafik udara yang tidak dibayar.
Syarikat penerbangan SkyWest, Southwest dan Envoy Air mencatat kadar pembatalan tertinggi, manakala United, Delta dan American Airlines turut mengalami kelewatan ketara, menurut laman pemantauan penerbangan FlightAware.
Syarikat penerbangan diminta menambah bilangan pengurangan penerbangan secara berperingkat sepanjang minggu ini.
Setiausaha Pengangkutan Sean Duffy memberi amaran bahawa kadar itu boleh mencecah sehingga 20 peratus jika penutupan kerajaan berterusan.
Dalam wawancara bersama Fox News, Duffy menyalahkan penutupan kerajaan atas krisis kekurangan tenaga kerja, dengan menjelaskan bahawa "masalah sebenar ialah pengawal trafik udara tidak dibayar dan mereka terpaksa mencari kerja sampingan."
Beliau turut memberi amaran mengenai kemungkinan pengurangan kapasiti yang lebih besar.
"Jika penutupan ini tidak berakhir dalam masa terdekat, lebih ramai pengawal tidak akan hadir bekerja.
"Maka kami terpaksa menilai tekanan ini dan mungkin meningkatkan pengurangan daripada 10 kepada 15 atau 20 peratus."
Duffy menggesa Kongres agar segera menamatkan penutupan kerajaan.
"Tamatkan penutupan ini, biarkan Kongres berdebat isu mereka.
Tapi jangan jadikan rakyat Amerika dan penumpang udara sebagai tebusan bagi penutupan kerajaan yang kini telah mencapai tahap paling lama dalam sejarah."
Penutupan kerajaan yang bermula pada 1 Okt itu telah menjejaskan pembayaran gaji kakitangan persekutuan termasuk pengawal trafik udara dan pegawai Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) yang terus bekerja tanpa menerima bayaran, lapor agensi berita itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


