GAZA: Sekurang-kurangnya 25 orang awam maut dalam satu serangan udara Israel ke atas sebuah kediaman di Semenanjung Gaza pada Jumaat.

Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan bahawa pesawat Israel melancarkan serangan udara bertubi-tubi menyasarkan sebuah rumah milik keluarga Tabatibi di kawasan Sidra dalam kejiranan Daraj di tengah-tengah Bandaraya Gaza.

Serangan ini mengakibatkan 25 orang awam maut dan mencederakan ramai orang.

"Pesawat Israel juga menyasarkan kawasan utara di Kem Nuseirat, di tengah-tengah Semenanjung Gaza sementara tenteranya pula meletupkan beberapa buah bangunan di utara kem itu," katanya.

Menurut sumber perubatan, sejumlah orang awam cedera dalam satu serangan udara Israel menyasarkan sebuah sekolah yang menempatkan mereka yang hilang tempat tinggal di Kem Nuseirat. Mereka kemudiannya dipindahkan ke Hospital Syuhada Al-Aqsa.

Kru pertahanan awam beserta ambulans berjaya mengeluarkan mayat 13 orang yang sudah reput di kawasan Al-Balad dan kejiranan Al-Amal di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza.

Bot tempur Israel turut menyasarkan sebuah sekolah rendah di Kem Nuseirat, mengakibatkan seorang awam meninggal dunia dan mencederakan ramai lagi.

Menurut sumber perubatan, angka orang awam yang maut di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt meningkat kepada 33,545 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Jumlah yang cedera setakat ini mencecah 76,094 orang.

--BERNAMA-WAFA