DUNIA

Lebih 250 organisasi media protes pembunuhan wartawan di Gaza

Bernama 01/09/2025 | 22:00 MYT
Seramai 220 wartawan telah terbunuh akibat serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza dalam tempoh kurang dua tahun. - Foto REUTERS
PARIS: Lebih 250 organisasi media dari lebih 70 negara menghitamkan muka depan akhbar dan halaman utama laman sesawang serta menghentikan siaran pada Isnin sebagai tanda protes terhadap pembunuhan wartawan di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Badan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) yang menganjurkan protes itu berkata, seramai 220 wartawan telah terbunuh akibat serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza dalam tempoh kurang dua tahun.

"Dengan kadar wartawan terbunuh di Gaza angkara tentera Israel, tidak lama lagi tiada siapa yang tinggal untuk menyampaikan maklumat.

Ini bukan sekadar perang terhadap Gaza, tetapi perang terhadap kewartawanan," kata Ketua Pengarah RSF Thibaut Bruttin dalam satu kenyataan.

Tentera Israel berulang kali mendakwa bahawa serangan mereka hanya menyasarkan kumpulan Palestin Hamas dan berusaha mengelak korban orang awam.

Mereka juga berulang kali mendakwa wartawan di Gaza sebagai anggota Hamas atau terlibat dalam serangan ke atas Israel pada 7 Okt 2023, yang mencetuskan perang di wilayah itu.

Selepas lima wartawan antara yang terbunuh dalam serangan minggu lepas, Ketua Turus Tentera Israel Eyal Zamir menyuarakan kekesalan terhadap korban awam.

Bruttin berkata wartawan di Gaza sedang disasarkan secara sengaja, dibunuh dan difitnah.

"Tanpa mereka, siapa yang akan memaklumkan kita mengenai kebuluran? Siapa yang akan mendedahkan jenayah perang? Siapa yang akan menunjukkan kepada kita tentang genosid?" katanya.

Beliau menegaskan wartawan Palestin mesti dilindungi dan perlu diberi perlindungan oleh negara lain sekiranya mereka mahu keluar dari Semenanjung Gaza.

-- BERNAMA






#Israel bunuh wartawan #Gaza #Pembunuhan #protes