Seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya di luar sebuah pusat pendaftaran pengundi di ibu negara Afghanistan pada Ahad, lantas membunuh sekurang-kurangnya 31 orang selain mencederakan lebih daripada 50 yang lain.

Reuters melaporkan, kebanyakan mangsa sedang beratur untuk menerima kad pengenalan.

Militan Daish mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Najib Danesh, berkata pengebom bunuh diri itu berjalan kaki ke arah pusat pendaftaran tersebut sebelum meletupkan dirinya.

Serangan berkenaan adalah yang paling buruk terjadi di Kabul selepas insiden letupan ambulans pada Januari lalu yang mengorbankan 100 orang.

Pusat-pusat pendaftaran pengundi kini giat disiapkan di seluruh Afghanistan setelah sekian lama proses pilihan raya parlimen dan majlis daerah tertangguh.

Usaha pendaftaran pengundi itu dilakukan sebagai usaha mengukuhkan integriti kerajaan pentadbiran Presiden Ashraf Ghani yang disokong Barat.

Ashraf Ghani kini berdepan tekanan untuk memastikan pilihan raya itu dapat dilangsungkan Oktober ini, sebelum meneruskan pilihan raya kepresidenan pada tahun 2019.

Siri serangan ke atas pusat-pusat pendaftaran pengundian dijangka terus dirancang, dan memang disasarkan untuk menggagalkan usaha mengadakan pilihan raya.