Lebih 300 warga asing lari dari kompleks KK Park Myanmar, termasuk 75 rakyat Indonesia

Kawasan kompleks berkenaan yang diuruskan oleh Pasukan Pengawal Sempadan (Border Guard Force) telah dikaitkan dengan kegiatan penipuan dalam talian dan perjudian. - KBRI Yangon/Bernama
JAKARTA: Indonesia kini memantau rapi kompleks KK Park di Myawaddy, Negeri Kayin, Myanmar, selepas lebih 300 warga asing termasuk kira-kira 75 rakyatnya dilaporkan melarikan diri dari kawasan itu pada pagi Rabu.
Kawasan kompleks berkenaan yang diuruskan oleh Pasukan Pengawal Sempadan (Border Guard Force) telah dikaitkan dengan kegiatan penipuan dalam talian dan perjudian, menurut Kedutaan Indonesia di Yangon.
"Kejadian itu berlaku selepas tentera Myanmar, dikenali sebagai Tatmadaw bersiap sedia menyerbu kawasan itu," menurut kenyataan kedutaan yang memetik laporan media tempatan dan sumber lapangan.
Kedutaan turut memaklumkan bahawa sebahagian rakyat Indonesia masih berada di dalam kompleks berkenaan, manakala selebihnya dilaporkan bergerak ke kawasan sekitar Myawaddy dan Shwe Kokko untuk mencari perlindungan.Setakat petang Rabu, pihak berkuasa Thailand melaporkan bahawa kira-kira 20 warga Indonesia telah menyeberangi Sungai Moei ke Thailand, dan identiti serta keadaan mereka kini sedang disahkan oleh pihak berkuasa tempatan di Mae Sot.
Kedutaan berkenaan turut bekerjasama dengan kedutaannya di Bangkok, pihak berkuasa tempatan Myanmar serta kumpulan kemanusiaan bagi memastikan laluan pemindahan yang selamat untuk mangsa.
Dalam pada itu, kedutaan menasihatkan warga Indonesia agar tidak menerima tawaran bekerja di luar negara melalui saluran tidak rasmi dan menjauhi kawasan konflik atau lokasi yang dikenal pasti sebagai pusat jenayah siber serta pemerdagangan manusia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami