ISLAMABAD: Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei menegaskan bahawa diplomasi merupakan sebahagian daripada usaha berterusan negara itu dalam mempertahankan kedaulatan dan kepentingan nasional, ketika rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) masih berlangsung.
Menerusi hantaran di platform X, beliau berkata Iran tidak akan melupakan pelanggaran janji serta tindakan permusuhan oleh AS, selain menegaskan negara itu tidak akan memaafkan apa yang disifatkan sebagai “jenayah keji” oleh Israel sepanjang konflik.
Advertisement
Menurutnya, rundingan intensif yang berlangsung di Pakistan sejak Sabtu diteruskan tanpa henti dengan peranan pengantaraan negara itu, termasuk pertukaran pelbagai mesej dan dokumen antara kedua-dua pihak.
Beliau berkata delegasi Iran menggunakan sepenuhnya keupayaan, pengalaman dan kepakaran bagi memastikan hak serta kepentingan negara terus dipelihara, khususnya selepas kehilangan besar yang dialami rakyat Iran akibat konflik berkenaan.
“Tiada apa yang boleh menghalang kami daripada meneruskan misi mempertahankan kepentingan negara dan tamadun Iran,” katanya.
Tambah beliau, pelbagai isu utama telah dibincangkan dalam tempoh 24 jam lalu, termasuk Selat Hormuz, program nuklear Iran, pampasan perang, penarikan sekatan serta penamatan sepenuhnya konflik di rantau tersebut.
Baghaei menegaskan kejayaan rundingan bergantung kepada kesungguhan dan keikhlasan pihak lawan, termasuk kesediaan menghormati hak sah Iran tanpa tuntutan berlebihan.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Pakistan atas peranan sebagai tuan rumah serta usaha memudah cara proses rundingan.