Lebih 40 maut akibat hujan lebat di Mexico

Kenderaan yang rosak tersadai di kawasan lumpur tebal susulan kejadian banjir di Poza Rica, Veracruz, Mexico, 12 Okt 2025. (Foto AP)
MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya 44 orang maut manakala ramai lagi dilaporkan hilang selepas hujan lebat dan ribut kuat melanda beberapa negeri di Mexico, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Kebanyakan komuniti, khususnya di kawasan pergunungan masih terputus hubungan akibat runtuhan salji dan paras air yang tinggi menyebabkan pasukan penyelamat sukar untuk tiba ke lokasi.
Presiden Mexico Claudia Sheinbaum pada Ahad melawat kawasan bencana untuk menilai tahap kemusnahan.
Beliau bertemu mangsa dan pasukan penyelamat di komuniti Huachinango, antara kawasan paling terjejas di negeri Puebla."Hari ini keadaan cuaca membolehkan kerja-kerja pemulihan berjalan lebih pantas dan pengangkutan udara dapat digunakan untuk sampai ke komuniti yang masih terasing," tulisnya di platform X.
Sekitar 10,000 anggota tentera dikerahkan bagi menyelamatkan penduduk yang terperangkap dan mengagihkan makanan kepada komuniti terjejas.
Mereka turut membersihkan jalan, menyelamatkan mangsa banjir serta menyediakan bekalan makanan.
Ribuan orang dibawa ke pusat perlindungan kecemasan, manakala pasukan penyelamat masih berusaha untuk tiba ke beberapa perkampungan yang masih belum dapat diakses.
Ahli meteorologi memberi amaran bahawa hujan dijangka turun dalam tempoh terdekat, manakala risiko tanah runtuh semakin meningkat.
Kawasan paling terjejas ialah di negeri timur dan tengah seperti Veracruz, Hidalgo, Puebla, Queretaro dan San Luis Potosi. Puluhan ribu rumah, klinik, sekolah, jalan dan jambatan dilaporkan rosak.
Kebanyakan kematian dilaporkan di Veracruz dan Hidalgo, sementara kematian turut disahkan di Puebla dan Queretaro.
Hujan lebat sejak beberapa hari kebelakangan ini sebahagiannya berpunca daripada taufan tropika Priscilla dan Raymond di Lautan Pasifik serta fenomena cuaca di Teluk Mexico.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami