DUNIA
Lebih 500,000 penumpang terjejas akibat mogok pengawal trafik udara di Perancis - Kerajaan

Pemandangan menara kawalan trafik udara di Lapangan Terbang Marseille-Provence sehari sebelum mogok yang diumumkan kesatuan pengawal trafik udara, di Marignane, dekat Marseille, Perancis, 2 Julai 2025. REUTERS
MOSCOW: Lebih 500,000 orang terjejas susulan mogok pengawal trafik udara di Perancis yang melibatkan 272 kakitangan industri itu, kata Menteri Pengangkutan Philippe Tabarot pada Jumaat, menurut laporan Sputnik/RIA Novosti.
"Ini tidak boleh diterima. Semalam dan hari ini, tindakan 272 orang telah menjejaskan lebih 500,000 orang. Ia juga akan menyebabkan kesukaran kewangan kepada syarikat penerbangan, sama ada syarikat Perancis mahupun asing, kerana mogok ini sangat mahal," kata Tabarot kepada penyiar Europe 1.
Beliau mengkritik tindakan pengawal trafik udara yang mogok, dengan mendakwa gaji mereka telah dinaikkan sebanyak tujuh peratus tahun lepas, manakala waktu kerja mingguan mereka adalah 32 jam dan umur persaraan pada 59 tahun.
Hampir 1,000 penerbangan dibatalkan di Perancis pada Jumaat: separuh di lapangan terbang Nice, 40 peratus di lapangan terbang Paris, dan 30 peratus di lapangan terbang Lyon, Marseille, Montpellier, Ajaccio, Bastia, Calvi dan Figari akibat mogok berkenaan. Pada Khamis, 933 penerbangan dibatalkan.Tabarot berkata pada Khamis bahawa kerugian berkaitan mogok itu kepada syarikat penerbangan termasuk syarikat penerbangan utama negara, Air France, boleh mencecah jutaan euro.
Dua kesatuan pengawal trafik udara Perancis, USAC-CGT dan UNSA-ICNA, yang mewakili 33 peratus kakitangan industri, telah melancarkan tindakan mogok itu. Mereka menuntut keadaan kerja yang lebih baik, menamatkan kekurangan kakitangan secara berstruktur serta "pengurusan toksik."
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami