DUNIA
Lebih 65 pelarian, migran terbunuh dalam tragedi bot karam di pantai Yaman

Mayat 54 mangsa ditemui terdampar di daerah Khanfar, manakala 14 lagi ditemui di lokasi berasingan. - Gambar hiasan
ZINJIBAR: Sekurang-kurangnya 68 pelarian dan migran dari Afrika terbunuh manakala 74 lagi dilaporkan hilang selepas sebuah bot yang membawa 154 penumpang karam di perairan selatan Yaman, menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM).
Ringkasan AI
- Seramai 68 pelarian dan migran terbunuh, 74 hilang, dan hanya 12 terselamat selepas bot karam akibat angin kencang di Laut Arab.
- Laluan antara Tanduk Afrika dan Yaman kekal sebagai laluan migrasi paling berisiko, digunakan oleh pelarian dari Somalia dan Ethiopia.
- Pasukan penyelamat bergelut dengan laut bergelora, sementara pihak berkuasa kesihatan bersiap untuk pengebumian mangsa.
Menurut Ketua IOM di Yaman, Abdulsattar Eissaiwev, mayat 54 mangsa ditemui terdampar di daerah Khanfar, manakala 14 lagi ditemui di lokasi berasingan dan dihantar ke bilik mayat di bandar Zinjibar.
Pihak berkuasa kesihatan tempatan kini sedang membuat persiapan untuk pengebumian mangsa berhampiran bandar Shuqra.
“Kami masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat, namun keadaan laut yang bergelora menyukarkan usaha,” kata Abdelkader Bajamil, Pengarah Pejabat Kesihatan Zinjibar.
Laluan laut antara Tanduk Afrika dan Yaman merupakan antara laluan migrasi paling sibuk dan berbahaya di dunia.
Ramai pelarian dari Somalia dan Ethiopia menggunakan laluan ini untuk melarikan diri daripada konflik dan kemiskinan, dengan harapan untuk tiba di negara-negara Teluk yang lebih makmur.
Menurut IOM, lebih 60,000 pelarian dan migran tiba di Yaman sepanjang tahun 2024, menurun berbanding 97,200 pada tahun sebelumnya, berikutan peningkatan rondaan keselamatan di perairan tersebut.
Tragedi ini menambah kepada ratusan kematian yang telah berlaku di laluan migrasi ini dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
IOM melaporkan bahawa lebih 2,000 orang telah hilang di laluan ini dalam sedekad terakhir, termasuk 693 yang diketahui lemas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami