DUNIA
Lebih ramai dipindahkan dari pulau-pulau selatan barat Jepun susulan gempa

Gambar menunjukkan Pulau Akuseki yang merupakan sebahagian daripada Kepualauan Tokara. Sejak 21 Jun, lebih 1,300 gegaran dirasai di kawasan gugusan kepulauan itu. - Reuters
KAGOSHIMA (Jepun): Lebih ramai penduduk dipindahkan dari pulau-pulau kecil di kawasan selatan barat Jepun menuju ke pulau utama Kyushu pada Ahad, susulan gegaran berterusan melanda kawasan itu, lapor Agensi Berita Kyodo.
Menurut pihak berkuasa tempatan, seramai 46 penduduk dari Akuseki dan Kodakara dalam gugusan Kepulauan Tokara menaiki feri pada sebelah pagi, menjadikan kumpulan kedua yang dipindahkan ke Kagoshima selepas 13 penduduk Akuseki dipindahkan pada Jumaat.
Kira-kira 20 orang masih berada di Akuseki dan 40 orang di Kodakara.
Sejak 21 Jun, lebih 1,300 gegaran dirasai di kawasan gugusan Kepulauan Tokara.Pemindahan penduduk mula dilakukan selepas gempa berukuran 5.5 pada skala Richter berlaku pada Khamis.
Pada Ahad, dua gegaran masing-masing berukuran 4.8 pada skala Richter dan 5.4 pada skala Richter berlaku sejurus selepas 2 petang dan menggegarkan Pulau Akuseki, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan, menurut Agensi Meteorologi Jepun.
Walaupun kawasan ini sememangnya dikenali sebagai kawasan aktif seismik, beberapa pakar menyatakan keadaan semasa adalah luar biasa memandangkan lazimnya gegaran di rantau itu akan reda dalam tempoh sekitar 10 hari.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami