TEHRAN: Pihak berkuasa Iran telah memanggil dua pelakon wanita terkenal negara itu bagi memberi keterangan atas tuduhan tidak berhijab di tempat awam, lapor portal berita Aljazeera.

Tindakan itu diambil dalam usaha menangani tindakan melanggar undang-undang wajib berhijab di negara berkenaan yang kini tidak lagi terbatas pada golongan selebriti, bahkan turut melibatkan personaliti perniagaan dan sukan.

Media pro-kerajaan Iran pada Isnin melaporkan, tindakan telah diambil terhadap Baran Kosari, 37, dan Shaghayegh Dehghan, 44, kerana tidak mematuhi sepenuhnya undang-undang hijab yang diluluskan sejurus selepas Revolusi Islam pada tahun 1979.

Kosari dituduh menghadiri upacara pengebumian seorang rakan pelakon pada hari Jumaat tanpa memakai tudung kepala, manakala Dehghan pula dirakamkan gambar dengan rambut terdedah semasa pelancaran buku di sebuah kafe di Tehran sehari kemudian.

Kedua-dua selebriti itu kini menyertai senarai penggiat filem wanita Iran yang telah dituduh melanggar undang-undang hijab.

Sebelum ini, dua pelakon veteran, Fatemeh Motamedaria dan Afsaneh Baygan telah didakwa selepas menyertai satu acara untuk mengenang seorang pelakon lain.

Pelakon veteran, Reza Kianian, 71, juga didakwa selepas dia membela "hak sebagai warganegara" wanita untuk melepaskan tudung kepala semasa acara yang sama.

Pada akhir bulan lalu, polis mengesahkan pelakon terkenal, Katayoun Riahi dan Pantea Bahram telah dirujuk kes mereka kepada kehakiman atas "jenayah melepaskan tudung kepala di tempat awam dan menyiarkan gambar-gambar tersebut di ruang maya."

Pegawai pendakwa Tehran, Ali Salehi mendakwa, beberapa selebriti tidak menjawab panggilan pihak berkuasa dan mereka berhadapan dengan ancaman ditangkap jika terus berbuat demikian.

Ramai aktres tempatan bergabung dengan wanita Iran yang tidak berhijab meluahkan kemarahan selepas kematian Mahsa Amini, seorang wanita berusia 22 tahun yang ditahan oleh polis "moral" negara itu atas tuduhan tidak mematuhi undang-undang hijab.

Susulan kejadian itu mencetus tindakan tunjuk perasaan selama berbulan-bulan di seluruh negara tersebut.