DUNIA
Lebih ramai petugas kemanusiaan maut pada 2024 berbanding tahun-tahun sebelumnya - PBB

Menjelang pertengahan Ogos 2025, 265 pekerja bantuan terbunuh, sama ada semasa bertugas mahupun di rumah dengan lokasi paling berbahaya setakat ini adalah Semenanjung Gaza dan Sudan. - Gambar hiasan/REUTERS
GENEVA: Lebih ramai petugas kemanusiaan maut pada 2024 berbanding mana-mana tahun sebelumnya, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), lapor agensi berita Jerman, dpa.
Seramai 383 pekerja bantuan maut sepanjang 2024, iaitu kira-kira satu pertiga lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan OCHA pada Selasa sempena sambutan Hari Kemanusiaan Sedunia.
Selain itu, 308 cedera, 125 diculik dan 45 ditahan.
Senario ini terus berlanjutan pada 2025 dan menjelang pertengahan Ogos, 265 pekerja bantuan terbunuh, sama ada semasa bertugas mahupun di rumah. Lokasi paling berbahaya setakat ini adalah Semenanjung Gaza dan Sudan."Satu serangan ke atas rakan sekerja kemanusiaan adalah serangan terhadap kita semua dan terhadap mereka yang kita bantu," kata Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Tom Fletcher.
Beliau menyifatkan tahap keganasan ini sebagai "satu kecaman memalukan terhadap sikap tidak bertindak dan tidak peduli masyarakat antarabangsa."
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa pula menyatakan, "setiap serangan adalah satu pengkhianatan besar terhadap nilai kemanusiaan."
Petugas kemanusiaan bekerja dengan organisasi bantuan yang berkaitan perang, konflik atau bencana alam, termasuk agensi PBB dan badan bukan kerajaan seperti Palang Merah, Malteser, Caritas dan World Vision. Kebanyakannya adalah pekerja tempatan yang memahami budaya dan keadaan di kawasan krisis.
Menurut undang-undang antarabangsa, petugas kemanusiaan wajib dilindungi. Pada 2024, Majlis Keselamatan PBB mengesahkan semula dalam satu resolusi yang negara anggota wajib melindungi pekerja bantuan dan menyiasat setiap serangan. Pelaku, bagaimanapun jarang dibawa ke muka pengadilan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami