Amorim perlu tiga tahun bukti kehebatan di Manchester United - Ratcliffe

Amorim memantau pemainnya ketika perlawanan EPL antara Manchester United dan Sunderland di Stadium Old Trafford, Manchester, England, 4 Okt 2025. Gambar kecil: Ratcliffe. (Foto AP)
PEMILIK bersama Manchester United, Sir Jim Ratcliffe, menegaskan bahawa pengurus Ruben Amorim memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk membuktikan dirinya sebagai jurulatih hebat di Old Trafford.
Amorim, 40 tahun, bakal genap setahun bersama United pada November ini selepas meninggalkan Sporting Lisbon. Namun, prestasinya setakat ini mengecewakan apabila Red Devils menamatkan saingan musim lalu di tangga ke-15 Liga Perdana, prestasi terburuk kelab sejak 1973–74.
Walaupun sudah membelanjakan lebih £200 juta, United sudah tewas tiga kali dalam liga musim ini dan disingkirkan oleh Grimsby Town dalam Piala EFL.
Menolak khabar angin bahawa Amorim bakal dipecat, Ratcliffe berkata beliau kekal yakin dengan jurulatih muda itu.“Dia tidak melalui musim terbaik, tetapi Ruben perlukan masa tiga tahun untuk buktikan dia jurulatih hebat,” katanya dalam podcast The Business terbitan The Times.
Ratcliffe turut mengkritik tekanan luar yang menuntut kejayaan segera, sambil menegaskan United tidak boleh diurus dengan keputusan tergesa-gesa.
“Media mahu kejayaan semalaman, seolah-olah tekan suis terus jadi hebat. Itu bukan cara mengurus kelab seperti Manchester United,” ujarnya.
Walaupun hanya memiliki kurang daripada 30% saham, Ratcliffe kini mengawal sepenuhnya keputusan bola sepak di United. Beliau juga mempertahankan keluarga Glazer, dengan menegaskan mereka tetap “bersemangat” terhadap kelab.
Dalam masa sama, Ratcliffe menjelaskan langkah penjimatan besar-besaran, termasuk pemberhentian lebih 400 kakitangan, adalah sebahagian usaha menjadikan United lebih efisien.
“Kos terlalu tinggi. Matlamat kami ialah menjadikan Manchester United kelab paling menguntungkan di dunia, dan daripada situ melahirkan kejayaan di padang,” katanya.
Dengan sokongan penuh Ratcliffe dan masa yang dijanjikan, tekanan kini beralih kepada Amorim untuk membuktikan dirinya mampu membawa Manchester United kembali ke era kegemilangan.
Walaupun jalan masih panjang, kepercayaan pengurusan tertinggi mungkin menjadi kunci kepada kebangkitan semula Red Devils di bawah kendalian jurulatih muda dari Portugal itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami