LEBIH daripada satu bilion makanan dibazirkan di seluruh dunia setiap hari, sementara hampir 800 juta orang pula berhadapan kelaparan, dedah laporan baharu yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berdasarkan laporan tersebut, dunia membazirkan 1.05 bilion tan metrik makanan pada 2022 yang membawa maksud sekitar satu perlima daripada makanan yang tersedia untuk orang ramai telah disia-siakan oleh isi rumah, restoran dan bahagian lain dalam sektor perkhidmatan makanan dan runcit.

Secara keseluruhan, kira-kira satu pertiga daripada semua makanan menjadi sia-sia semasa proses pengeluaran.

Angka pembaziran ini menjadi lebih ketara apabila dibandingkan dengan penemuan laporan yang menyatakan bahawa kira-kira sepertiga daripada populasi dunia mengalami ketidakstabilan makanan dan 783 juta orang terjejas oleh kelaparan.

Statistik yang mengejutkan itu, yang diterbitkan pada Rabu dalam Laporan Indeks Sisa Makanan Program Alam Sekitar PBB (UNEP) 2024, menimbulkan persoalan tentang keupayaan dunia untuk mengagihkan makanan yang dihasilkannya dan menyerlahkan peranan sisa makanan sebagai pemacu perubahan iklim, kata Pengarah UNEP, Inger Andersen.

“Sisa makanan adalah tragedi global. Berjuta orang kelaparan hari ini kerana makanan dibazirkan di seluruh dunia.

"(Pembaziran makanan) bukan sahaja isu pembangunan utama, tetapi kesan sisa yang tidak perlu itu menyebabkan kos yang besar kepada iklim dan alam semula jadi," kata Andersen.

Laporan itu membezakan antara "kehilangan" makanan yang dibuang lebih awal dalam rantaian bekalan seperti sayur-sayuran yang layu di ladang dan daging yang rosak apabila tidak disejukkan serta "sisa" makanan yang dibuang oleh isi rumah, restoran dan kedai.

Isi rumah membazir 631 juta tan metrik makanan pada 2022 iaitu merangkumi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan, manakala sektor perkhidmatan makanan menyumbang sebanyak 28 peratus daripada sisa dan runcit pula sebanyak 12 peratus.

Purata orang membazirkan 79 kilogram (174 paun) makanan setiap tahun, bermakna sekurang-kurangnya satu bilion hidangan makanan yang boleh dimakan dibazirkan dalam isi rumah setiap hari, dedah laporan itu lagi.

Bagaimanapun, laporan itu turut  menyebut anggaran berkenaan adalah konservatif.

Walaupun pengumpulan data telah bertambah baik - dengan bilangan titik data di peringkat isi rumah hampir dua kali ganda sejak laporan sisa makanan PBB 2021 - ia mengkritik pemantauan tidak teratur oleh sejumlah negara di dunia.

Kata laporan itu, hanya 21 negara telah memasukkan kehilangan makanan dan pembaziran dalam rancangan iklim negara mereka, walaupun pada hakikatnya ia menjana 8 hingga 10 pertaus daripada pelepasan pemanasan planet global - hampir lima kali lebih banyak daripada pelepasan daripada sektor penerbangan.

Walaupun kesan iklim penerbangan yang memakan gas telah dilindungi dengan baik , laporan itu mencadangkan kesan daripada isu sisa makanan yang lebih biasa telah diabaikan.

Makanan adalah intensif sumber untuk dihasilkan, memerlukan sejumlah besar tanah dan air dan sistem makanan bertanggungjawab untuk kira-kira satu pertiga daripada pelepasan pemanasan planet global.

Sebahagian besar sisa makanan berakhir di tapak pelupusan sampah, menghasilkan metana apabila ia hancur. Gas rumah hijau yang kuat, metana mempunyai kira-kira 80 kali ganda kuasa pemanasan karbon dioksida dalam tempoh 20 tahun pertama.

Sisa makanan bukan sahaja menyumbang kepada perubahan iklim, bahkan berkemungkinan diburukkan lagi olehnya, kata laporan itu.

Negara yang lebih panas didapati membazir lebih banyak makanan daripada yang lebih sejuk, kerana suhu yang lebih tinggi menjadikannya lebih mencabar untuk menyimpan dan memindahkan makanan sebelum ia rosak.

Laporan itu juga berkata, sisa makanan bukan lagi sekadar fenomena "orang kaya."

Ini kerana, perbezaan jumlah makanan yang dibazirkan di negara berpendapatan tinggi dan sederhana hanya 7 kilogram setiap orang setiap tahun. - Reuters