DUNIA
Lebih sejuta hektar terjejas, Azerbaijan berdepan krisis periuk api

Elnur Gasimov (kiri) berucap pada satu sesi forum sempena Seminar Antarabangsa Menuju Dunia Bebas Periuk Api - Kes Azerbaijan di Kuala Lumpur, semalam. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Azerbaijan kini berdepan pencemaran periuk api yang serius, sekali gus mengundang risiko besar terhadap penduduk awam, pembangunan sosioekonomi dan alam sekitar di kawasan yang terjejas.
Ketua Jabatan Kawalan Kualiti Agensi Tindakan Periuk Api Azerbaijan (ANAMA), Elnur Gasimov berkata lokasi periuk api yang dianggarkan melebihi satu juta hektar di bahagian barat daya negara itu telah dikaitkan dengan sebanyak 243 insiden yang direkodkan.
"Malangnya, jumlah insiden semakin meningkat kerana orang ramai mula berpusu-pusu kembali ke wilayah yang telah dibebaskan itu, dengan 330 individu cedera dan 70 terkorban.
"Angka ini menunjukkan betapa besarnya ancaman yang wujud dan keperluan mendesak untuk terus mendapatkan sokongan antarabangsa bagi melaksanakan operasi pemusnahan periuk api," katanya dalam ucapan khas pada Seminar Antarabangsa Menuju Dunia Bebas Periuk Api - Kes Azerbaijan di sini, semalam.Beliau berkata setakat Julai 2025, Kerajaan Azerbaijan telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan periuk api di lebih 200,000 hektar kawasan yang terjejas, melibatkan pemusnahan sebanyak 37,655 periuk api anti-personel, 21,992 periuk api anti-kereta kebal dan 143,010 butir bahan letupan tidak meletup (UXO).
Bagi memperkukuh kesedaran komuniti mengenai risiko bahan letupan, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), ANAMA dan Kementerian Pendidikan Azerbaijan telah melancarkan inisiatif bersama untuk menubuhkan Kumpulan Kesedaran Periuk Api di kawasan terjejas.
"Program ini turut merangkumi aktiviti pendidikan melalui buku teks, bahan bantu pengajaran dan pemasangan papan amaran di kawasan berisiko," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus berkata prinsip teras SUHAKAM adalah untuk memperjuangkan hak setiap individu, khususnya kumpulan rentan, serta memastikan hak asasi manusia dihormati dan dipelihara secara universal tanpa memihak dalam konflik.
Mengulas kes Azerbaijan, SUHAKAM secara jelas mengiktiraf betapa seriusnya isu pencemaran periuk api dan sisa letupan perang (ERW) yang sedang dihadapi negara itu.
"Oleh itu, walaupun Malaysia telah berikrar untuk terus menyokong usaha antarabangsa dan kemanusiaan bagi mengharamkan periuk api anti-personel, kita juga mesti sentiasa berwaspada di dalam negara.
"Kita perlu terus meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya semua bentuk ERW dan memastikan masyarakat kita dilengkapi pengetahuan mengenai cara bertindak dengan selamat sekiranya berdepan dengan sisa letupan berkenaan," katanya.
Azerbaijan kini berdepan pencemaran periuk api secara meluas yang memberi kesan besar kepada keselamatan penduduk awam, pembangunan sosioekonomi serta alam sekitar di kawasan terjejas.
ANAMA memainkan peranan penting dalam proses pemusnahan periuk api di Azerbaijan, yang dijangka mengambil masa kira-kira 20 tahun dan memerlukan pembiayaan sekitar US$25 bilion.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami