JOHOR BAHRU: Lebih sejuta pelarian dalam negara di utara Syria, negara terjejas teruk akibat perang sejak 11 tahun yang lepas, memerlukan rumah dengan kebanyakan mereka terpaksa tinggal di khemah-khemah sementara dalam keadaan serba-serbi kekurangan.

Koordinator Perhubungan Awam Yayasan ATAA Mohammad Abdullatif Mohammad Salahaldin berkata sumbangan orang ramai terutamanya rakyat Malaysia sangat dialu-alukan untuk sama-sama menyokong pihaknya membantu pelarian Syria ini.

Beliau berkata setakat ini Yayasan ATAA berjaya membina 3,500 rumah di bandar Idlib, A'zaz, Al-Bab dan Jarabulus, hasil sumbangan dana awam dan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada beberapa negara.

"Kita sedang membina kira-kira 4,500 unit rumah sekitar Jarabalus, Idlib dan Al-Bab bagi membantu lebih ramai pelarian membina kembali hidup mereka semula, yang dijangka siap Februari, tahun depan," kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran Tabung Kemanusiaan Econsave Syria, Yaman dan Afghanistan bersama Yayasan ATAA di Pasaraya Econsave Taman Teratai, di sini hari ini.

Yayasan ATAA yang berpengkalan di Turkiye, merupakan antara NGO yang aktif dalam misi-misi kemanusiaan di Syria, dan turut hadir dalam pelancaran hari ini ialah Ahli Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Dr Mohd Zin Kandar dan Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry Mas Imran Adam.

Sementara itu MyCARE dan Pasaraya Econsave Cash and Carry akan membuka kaunter wakaf di cawangan pasar raya yang terpilih untuk memudahkan orang ramai menyumbang kepada usaha membina rumah bagi yang memerlukan di Syria, mulai bulan hadapan.

Mohd Zin berkata rumah berukuran 50 meter persegi dan mempunyai dua bilik, dapur, tandas dan satu ruang keluarga itu, menelan kos pembinaan AS3,000 (RM14,000) seunit, dan mampu menempatkan kira-kira lima orang sekeluarga.

"Orang ramai boleh mewakafkan wang mereka serendah RM50 ataupun seberapa banyak yang mereka mahu. Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk membantu rakyat Syria," katanya.

Mas Imran pula berkata tabung yang telahpun berjalan sejak pra-pelancaran Julai lepas itu telah berjaya mengutip kira-kira RM300,000.

MyCARE dan Pasaraya Econsave dengan bantuan Yayasan ATAA, sedang membina sebuah sekolah di A'zaz, utara Syria, dalam proses membantu anak-anak pelarian negara itu untuk mendapat pendidikan awal.

-- BERNAMA