GELOMBANG kandungan palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI) meningkat dengan mendadak sepanjang konflik AS–Israel dengan Iran, apabila pencipta kandungan dalam talian mengejar tontonan tinggi untuk menjana pendapatan.
Pakar memberitahu BBC Verify bahawa video manipulasi, imej satelit rekaan dan klip serangan perang yang “meyakinkan tetapi tidak sahih” kini tersebar lebih pantas berbanding kemampuan platform untuk menanganinya.
Advertisement
Rakaman palsu tersebut dihimpunkan semula, dikitar semula, atau dihasilkan sepenuhnya oleh AI telah meraih ratusan juta tontonan di pelbagai platform.
Menurut Timothy Graham dari Queensland University of Technology, apa yang dulu memerlukan studio produksi kini boleh dibuat “dalam beberapa minit”.
Beliau menyifatkan situasi ini sebagai “amat membimbangkan”.
Platform X mengumumkan tindakan sementara: pencipta kandungan boleh digantung daripada program monetisasi jika menyiarkan video konflik yang dihasilkan AI tanpa label.
Langkah ini diambil kerana semakin ramai pengguna yang memuat naik video AI semata-mata untuk mengejar jumlah tontonan.
TikTok dan Meta tidak memberikan sebarang maklum balas sama ada mereka merancang langkah serupa.
Antara video palsu yang tular termasuk rakaman kononnya menunjukkan Tel Aviv dibom serta klip AI Burj Khalifa terbakar, kedua-duanya dikongsikan puluhan juta kali ketika orang ramai panik dengan serangan dron dan peluru berpandu sebenar di rantau Teluk.
Dalam banyak kes, pengguna cuba menyemak kesahihan video menggunakan chatbot AI seperti Grok, tetapi alat itu sendiri turut tersilap mengesahkan video yang sebenarnya palsu.
BBC Verify turut mengesan peningkatan penggunaan imej satelit rekaan, termasuk contoh yang dikongsi akhbar The Tehran Times yang menunjukkan “kerosakan besar” ke atas pangkalan tentera laut AS di Bahrain.
Imej itu dikenal pasti sebagai hasil manipulasi AI berasaskan gambar asal pada 2025, walaupun dipersembahkan sebagai rakaman baharu.
Pakar AI generatif Henry Ajder berkata, jumlah peralatan AI yang kini boleh menghasilkan imej dan video hiperrealistik “tidak pernah berlaku sebelum ini”.
Menurut pihak X, majoriti akaun yang memuat naik video AI palsu melakukannya untuk mengaut keuntungan daripada program pembayaran platform.
Sesetengah pakar menggelarkan fenomena ini sebagai “kilang maklumat palsu automatik” kerana proses mencipta kandungan, mengedarkan dan mengaut pendapatan hampir sepenuhnya boleh dilakukan oleh AI.
Victoire Rio, pengarah What To Fix, menjelaskan bahawa rangkaian penyebaran kini boleh dijalankan secara automatik, menjadikan dunia digital dibanjiri video rekaan yang menyerupai rakaman sebenar.
Walaupun syarikat teknologi berjanji memperketat pengesanan, pakar berpendapat masalahnya lebih mendalam.
Menurut Graham, selagi platform bergantung kepada model “lebih banyak tontonan, lebih banyak bayaran”, maklumat sahih akan sentiasa tewas kepada kandungan sensasi, termasuk yang dihasilkan AI.