TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berikrar untuk terus mengusahakan pindaan Perlembagaan Jepun, sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh mendiang Shinzo Abe walaupun bekas Perdana Menteri itu mempelopori usul tersebut.

Kenyataan itu dibuat dalam sidang akhbar pada Isnin, sehari selepas Parti Demokratik Liberal (LDP) dan rakan gabungan mereka meraih kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen.

Kishida berkata, beliau komited untuk membawa masa depan yang cerah kepada Jepun, dan mewarisi legasi yang ditinggalkan oleh mendiang Abe.

"Mewarisi legasi (mendiang Abe), terutamanya isu penculikan (warga Jepun oleh Korea Utara sekitar tahun 70-an dan 80-an) dan pindaan perlembagaan yang telah banyak beliau usahakan, dan saya akan mengusahakan cabaran yang tidak dapat direalisasi oleh mendiang Abe.

"Ia amat dikesali nyawa pemimpin yang disayangi dan dihormati di seluruh dunia itu telah diragut. Bagaimanapun, mendiang Abe semestinya akan berasa lebih kesal kerana meninggalkan isu-isu yang belum dapat diselesaikan, sedangkan keadaan di sekeliling negara berubah dengan pantas," katanya seperti dilapor media antarabangsa, pada Isnin.

Semakan kepada Perlembagaan 1947 yang digubal oleh Amerika Syarikat merupakan ikrar Parti Demokratik Liberal yang belum dapat dilaksanakan sejak berdekad lalu termasuk oleh mendiang Abe dan bekas Perdana Menteri Jepun, Nobusuke Kishi.

Pemimpin-pemimpin itu menyifatkan perlembagaan berkenaan sebagai satu penghinaan yang dikenakan ke atas Jepun berikutan kekalahan pada Perang Dunia II.

Gabungan pimpinan LDP dilapor menang 146 kerusi daripada 248 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus memberi ruang kepada Kishida untuk mentadbir Jepun tanpa gangguan sehingga pilihan raya yang dijadualkan pada 2025.