INSIDEN mencemaskan seorang lelaki bersenjata menjadikan sekumpulan pekerja bank sebagai tebusan di Beirut pada Khamis berakhir apabila dia menyerah diri.

Al Jazeera melaporkan, suspek bersetuju menyerah diri selepas rundingan selama beberapa jam dengan pihak berkuasa di Bank Persekutuan terletak di Jalan Hamra.

Dia dikatakan bersetuju membebaskan semua tebusan selepas menerima tawaran pihak bank untuk menerima sejumlah wang daripada akaunnya yang dibekukan.

Bagaimanapun, menurut seorang peguam yang terbabit dalam rundingan berkenaan, suspek berusia 42 tahun itu tidak akan menerima wang yang ditawarkan berkenaan, lapor Al Jazeera.

Terdahulu, dia yang bersenjata senapang patah dilaporkan menyerbu masuk ke bank berkenaan dan menjadikan antara enam hingga tujuh pekerja sebagai tebusan.

Selain melepaskan tiga tembakan, suspek turut mengancam untuk membakar diri dengan petrol jika tuntutan untuk mendapatkan wang miliknya yang dibekukan tidak dipenuhi.

BACA: Lelaki bersenjata jadikan pekerja bank tebusan, tuntut wang dibeku dipulangkan

Menurut laporan AFP sebelum ini, difahamkan wang simpanannya yang dibekukan berjumlah lebih AS$200,000 (RM889,000).

Lelaki berkenaan dikatakan bertindak demikian bagi mendapatkan semula wangnya untuk membiayai pembedahan rawatan bapanya.

Keadaan itu menyebabkan anggota keselamatan, tentera serta polis, selain ejen keselamatan khas mengepung kawasan sekeliling bank berkenaan.