SEORANG penumpang pesawat di Amerika Syarikat yang menimbulkan kekecohan sehingga terpaksa digari tangannya di tempat duduk penumpang sepanjang baki perjalanan.

Insiden yang berlaku Jumaat lalu itu juga memaksa pesawat American Airlines 31 terbabit terbang dengan diiringi dua pesawat pejuang tentera negara itu sebelum berjaya mendarat dengan selamat di Honolulu, Hawaii.

Sebelum ‘diikat’ Anil Uskanil, 25, telah ditahan oleh polis di Lapangan Terbang Los Angeles selepas seorang petugas ternampak dia berjalan melalui pintu keselamatan dari terminal ke sebuah kawasan lapang di ruang pesawat berlepas.

Namun telah dibenarkan menaiki pesawat.

Uskanil bagaimanapun kembali mencetuskan kekecohan apabila dilihat membawa komputer riba miliknya dan bertegas mahu masuk ke dalam kokpit.

Dia kemudiannya ditahan dan diikat dengan menggunakan pita pelekat atau 'duck tape' oleh sekumpulan penumpang lain sebelum kakitangan pesawat kemudiannya menggarinya dan memaklumkan insiden kepada pihak keselamatan.

Sejurus tiba, pihak polis dan FBI yang melakukan pemeriksaan ke atas barangan peribadi lelaki warganegara Turki itu bagaimanapun tidak menemui sebarang peralatan mencurigakan.

Dia telah dihantar untuk menjalani pemeriksaan psikologi, dan bakal berdepan dakwaan melakukan kekecohan.

Menurut polis, lelaki terbabit dibebaskan selepas dikenakan dakwaan salah laku.

Dia juga didapati minum minuman keras namun tidak sehingga memabukkan.