Sekurang-kurangnya 95 orang terkorban di Ankara pada Sabtu selepas dua suspek pengebom berani mati meletupkan bom di tengah-tengah kumpulan himpunan aman aktivis pro-Kurdis.

Letupan tersebut berdekatan stesen keretapi utama Ankara memberi tekanan lebih kepada negara tersebut, terutama sekali dengan pilihan raya umum Turki pada 1 November nanti.

Serangan tersebut mengakibatkan 246 individu cedera, dengan 48 daripada mereka dimasukkan ke wad jagaan rapi menurut pengumuman angka terkini oleh Pejabat Perdana Menteri Ahmet Davutoglu.

Beliau juga mengumumkan hari berkabung selama tiga hari dan menambah bahawa terdapat tanda-tanda kukuh bahawa serangan tersebut dibuat oleh dua pengebom berani mati.

Insiden ini turut mendapat kecaman daripada warga dunia.

Canselor Jerman Angela Merkel melahirkan rasa sedih dan kecewa manakala Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Presiden Rusia Vladimir Putin merakamkan ucapan takziah kepada Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

Keadaan di kawasan tersebut kecoh sejurus selepas letupan apabila ambulans berusaha secepat mungkin untuk menyelamatkan mereka yang cedera manakala pihak polis pula menghalang orang awam daripada memasuki kawasan tersebut.

"Kami terdengar satu letupan kuat dan satu letupan yang lebih kecil selepas itu dan kemudian banyak pergerakan berlaku serta ramai mula panik. Kami kemudian melihat mayat bergelimpangan di kawasan stesen tersebut," kata Ahmet Onen, 52, salah seorang saksi di kawasan tersebut.

Sementara itu, Davutoglu berkata tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas insiden tersebut tetapi menyatakan beberapa kumpulan berhaluan kiri seperti kumpulan militan Negara Islam (IS) serta Parkti Pekerja Kurdistan (PKK) mampu melakukan serangan begitu.

Angka kematian insiden ini melangkaui insiden di Reyhanli pada May 2013 yang telah mengorbankan lebih 50 orang.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu Ban Ki-moon berkata dalam satu kenyataan bahawa beliau mengharapkan pihak yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Di Istanbul, seramai 10,000 individu berarak di pusat bandar untuk mengecap serangan tersebut.

Ribuan juga turut ke jalanan di Paris, Strasbourg dan Marseille di Perancis serta Zurich di Switzerland.