BEBERAPA siri letupan di berek tentera di Equatorial Guinea menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang maut dan mencederakan lebih 600 yang lain pada Ahad, kata pihak berkuasa.

Letupan berlaku jam 4 petang waktu tempatan.

Presiden, Teodoro Obiang Nguema dalam satu kenyataan berkata letupan itu disebabkan oleh kecuaian dalam pengurusan bahan letupan.

"Kesan letupan itu menyebabkan kerosakan di hampir semua rumah dan bangunan di di kawasan berkenaan," kata Nguema.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya memaklumkan kebakaran yang berlaku di depot senjata di berek berkenaan telah menyebabkan letupan.

Punca sebenar letupan bagaimanapun masih disiasat.

Equatorial Guinea, sebuah negara kecil di Afrika Barat dengan 1.3 juta penduduk dan terletak di selatan Cameroon, adalah bekas tanah jajahan Sepanyol.

Saluran televisyen tempatan memaparkan kepulan asap di lokasi letupan dan orang ramai bertempiaran melarikan diri.

Menteri Luar, Simeón Oyono Esono Angue bertemu dengan duta besar asing dan meminta bantuan.

"Kami terpaksa meminta bantuan negara-negara jiran dalam situasi yang menyedihkan ini kerana kami menghadapi situasi genting akibat COVID-19 dan kini tragedi letupan ini," katanya.