Skip to main content

Dunia

Letupan di kilang bunga api di China ragut 21 nyawa

Adobe Stock
Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh manakala 61 lagi cedera dalam satu letupan di sebuah kilang bunga api di wilayah Hunan, China, menurut laporan media rasmi negara itu. - Gambar hiasan

HUNAN, CHINA: Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh manakala 61 lagi cedera dalam satu letupan di sebuah kilang bunga api di wilayah Hunan, China, menurut laporan media rasmi negara itu.

Letupan di kilang Changsha Liuyang Huasheng Fireworks di bandar Liuyang berlaku kira-kira jam 4.40 petang Isnin waktu tempatan (8.40 pagi GMT), memaksa pasukan penyelamat mengosongkan kawasan dalam radius tiga kilometer dari kilang berkenaan.

Pihak berkuasa dilaporkan menggerakkan hampir 500 anggota bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat serta merawat mangsa yang cedera, manakala penggunaan robot turut dilakukan untuk membantu mengenal pasti individu yang terperangkap di dalam bangunan.

Polis yang menyiasat punca kejadian telah mengambil “langkah kawalan” terhadap individu yang bertanggungjawab ke atas syarikat bunga api tersebut, menurut media rasmi China.

Pihak berkuasa turut memaklumkan dua gudang serbuk mesiu di kawasan kilang dikenal pasti berisiko tinggi ketika usaha menyelamat sedang dijalankan.

Pasukan penyelamat terpaksa mengosongkan semua individu dalam lingkungan tiga kilometer dari kilang itu dan turut mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk membasahkan kawasan sekitar bagi “mengelakkan kejadian susulan semasa operasi menyelamat”.

Kesan letupan dilaporkan begitu kuat sehingga memecahkan tingkap bangunan kediaman berhampiran kilang, menurut seorang wartawan stesen penyiaran CCTV yang berada di lokasi kejadian.

Presiden China, Xi Jinping, menggesa usaha sepenuhnya dilakukan bagi mencari individu yang masih hilang serta menyelamatkan mangsa yang cedera. 

Beliau juga mengarahkan siasatan terperinci dijalankan bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan, menurut laporan media rasmi.

Must Watch Video