DOHA: Beberapa siri letupan kuat dilaporkan menggegarkan Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait, dipercayai berkaitan serangan balas berterusan Iran terhadap negara-negara Teluk yang menempatkan aset dan kepentingan Amerika Syarikat (AS).
Letupan besar ini berlaku ketika konflik Asia Barat terus memuncak susulan pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran.
Advertisement
Letupan dan bunyi dentuman kuat dilaporkan penduduk di Doha, Dubai dan Bandar Kuwait, dengan saksi di Kuwait memaklumkan kepulan asap kelihatan berhampiran Kedutaan AS selepas sistem pertahanan udara negara itu memintas dron dan beberapa objek yang disyaki peluru berpandu di kawasan Rumaithiya dan Salwa.
Menurut laporan Reuters, serangan balas Iran ini merupakan sebahagian tindak balas terhadap operasi ketenteraan AS–Israel yang dilancarkan ke atas Iran sejak tiga hari lalu.
Iran sebelum ini memberi amaran bahawa mana-mana negara Teluk yang membenarkan ruang udara atau pangkalan mereka digunakan bagi melancarkan serangan ke atas Iran akan dianggap sebagai sasaran sah.
Letupan turut mengakibatkan gangguan besar terhadap operasi penerbangan dan keselamatan awam di rantau Teluk.
Di UAE, serangan balas Iran sebelum ini telah mencederakan beberapa individu dan menyebabkan kerosakan pada kemudahan utama seperti Lapangan Terbang Dubai serta bangunan ikonik di Dubai, manakala Qatar melaporkan sekurang-kurangnya 16 kecederaan dalam serangan terdahulu.
Setakat ini, pihak berkuasa Qatar, UAE dan Kuwait masih belum mengeluarkan perincian rasmi mengenai kerosakan atau jumlah korban bagi insiden terbaharu, namun langkah keselamatan telah ditingkatkan dengan beberapa negara Teluk mengaktifkan amaran serangan udara dan menggesa penduduk mengambil langkah perlindungan.