MALE: Kerajaan Maldives menggantung lesen operasi sebuah kapal persiaran mewah berkuat kuasa serta-merta susulan insiden yang meragut lima nyawa penyelam warga Itali di negara itu, Khamis lalu.
Kementerian Pelancongan dan Penerbangan Awam Maldives mengesahkan kapal liveaboard MV Duke of York dikenakan penggantungan tanpa had tempoh bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Tragedi di kawasan Vaavu Atoll itu dilihat antara insiden menyelam paling menyayat hati dalam sektor pelancongan negara tersebut.
Jurucakap kerajaan, Mohamed Hussain Shareef berkata siasatan memberi tumpuan kepada punca kumpulan penyelam berkenaan dipercayai menyelam melebihi had rekreasi 30 meter.
Menurut laporan Universiti Genoa, empat mangsa merupakan ahli pasukan penyelidik biologi marin institusi itu, termasuk profesor ekologi Monica Montefalcone, anak perempuannya Giorgia Sommacal, serta dua penyelidik muda Muriel Oddenino dan Federico Gualtieri.
Seorang lagi mangsa ialah jurutunjuk selam warga Itali, Gianluca Benedetti.
Kumpulan itu dilaporkan hilang selepas gagal kembali ke permukaan ketika menjalankan aktiviti penerokaan gua marin pada tengah hari Khamis.
Pasukan penyelamat menemukan mayat pertama di dalam sebuah gua pada kedalaman kira-kira 60 meter pada hari kejadian.
Operasi mencari baki mangsa berdepan kesukaran akibat cuaca buruk dan ombak besar.
Siasatan awal mendapati kumpulan itu dipercayai menggunakan peralatan selam rekreasi tanpa sokongan gas teknikal yang sesuai untuk penerokaan gua dalam yang berisiko tinggi.
Duta Besar Itali ke Colombo turut berada di lokasi bagi memantau operasi forensik sebelum semua mayat dibawa pulang ke negara asal.