MENTERI Luar Britain Liz Truss dijangka diumum sebagai pemimpin Parti Konservatif dan Perdana Menteri baharu pada Isnin, menggantikan Boris Johnson.

Pelantikan pemimpin baharu itu dibuat ketika Britain berdepan jangkaan kemelesetan berterusan, inflasi dua digit dan ketidaktentuan industri.

Truss dalam pada itu menggariskan pelan untuk mengatasi kenaikan harga dan meningkatkan bekalan tenaga, jika dipilih ke jawatan itu.

Beliau sebelum ini bertegas akan menangani kebimbangan ekonomi, mengulangi ikrarnya untuk menggalakkan pertumbuhan.

Dalam tulisannya di akhbar Sunday Telegraph, Truss mengakui beliau faham cabaran yang dihadapi rakyat.

Sehubungan itu, beliau akan mengambil langkah segera memastikan keluarga dan perniagaan boleh mengharunginya.

Truss berjanji akan membentangkan perancangannya dalam tempoh seminggu selepas dilantik sebagai Perdana Menteri.

Akhbar The Sunday Times pula melaporkan, pelan penyelamatan Truss dijangka akan menelan belanja AS$115 bilion.