INTERNATIONAL
LNG Rusia lebih murah untuk Thailand dan Filipina, berbanding pembekal AS dan Australia

Gambar hiasan menunjukkan sebuah tapak pembinaan bagi terminal gas asli cecair (LNG) terapung yang dirancang di pelabuhan Wilhelmshaven. - Gambar Reuters
MOSCOW: Gas asli cecair (LNG) Rusia mempunyai potensi daya saing yang tinggi di pasaran seperti Thailand dan Filipina disebabkan kos bekalan yang lebih rendah dari projek-projek Artik, menjadikannya lebih berpatutan berbanding pembekal utama semasa seperti Amerika Syarikat (AS) dan Australia, menurut pengurus projek di firma perunding Rusia Implementa, Ivan Timonin dalam temu bual dengan RIA Novosti.
"LNG Rusia boleh menjadi sangat kompetitif di pasaran Thailand dan Filipina.
"Sebagai contoh, kos bekalan dari projek-projek Artik Rusia ke kedua-dua negara dijangka lebih rendah berbanding LNG dari AS dan Australia, yang merupakan antara pembekal utama semasa ke pasaran ini," kata Timonin.
Pasaran LNG Thailand sudah signifikan, dengan negara itu mengimport 12.2 juta tan LNG pada 2024, menurut Timonin.Pasaran itu juga menunjukkan potensi pertumbuhan yang kukuh, dengan penggunaan diunjurkan mencecah sekitar 20 juta tan menjelang 2030.
Aliran ini didorong oleh pengeluaran gas domestik yang semakin berkurangan akibat sumber yang semakin susut dan peningkatan permintaan tenaga secara keseluruhan, jelas pakar.
Sebaliknya, pasaran LNG di Filipina masih agak terhad. Pada 2023, negara itu mengimport 625,000 tan gas asli, dan angka ini merosot kepada 217,000 tan pada 2024.
"Namun, terdapat juga potensi pertumbuhan di pasaran Filipina. Menjelang 2030, permintaan boleh mencecah 2 hingga 3 juta tan, dan dalam jangka panjang menjelang 2050, ia mungkin meningkat kepada sekitar 10 hingga 15 juta tan," kata Timonin.
Pada Januari, Duta Besar Thailand di Moscow, Sasiwat Wongsinsawat memberitahu RIA Novosti, negaranya berminat dengan sumber tenaga Rusia, termasuk LNG, dan sedang mencari penyelesaian yang praktikal untuk pengangkutan.
Pada masa sama, diplomat itu menyuarakan kebimbangan mengenai risiko sekatan sekunder.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami