KUALA LUMPUR: Kerajaan Lubnan mengisytiharkan Khamis, 9 April, sebagai hari berkabung ekoran serangan besar-besaran Israel ke atas negara itu yang mengorbankan ratusan orang awam pada Rabu.
Duta Lubnan ke Malaysia Maher Kheir berkata laporan awal menunjukkan lebih 250 orang terbunuh manakala lebih 1,000 lagi cedera dalam serangan yang disifatkan antara paling dahsyat sejak tercetusnya peningkatan ketegangan semasa.
Advertisement
“Serangan ini telah menyebabkan kemusnahan meluas di beberapa wilayah di Lubnan, sekali gus membebankan kemudahan perubatan dan memburukkan lagi situasi kemanusiaan di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.
Kheir turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas kecaman terhadap serangan itu serta solidariti yang dizahirkan kepada rakyat Lubnan.
“Pada saat yang penuh dukacita ini, Kedutaan Lubnan ingin merakamkan penghargaan tulus kepada Malaysia atas kecamannya terhadap peristiwa tragis ini serta solidaritinya bersama rakyat Lubnan,” kata beliau.
Amerika Syarikat (AS) dan Iran pada 8 April bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu selepas 40 hari perang sengit yang turut merebak ke negara-negara Teluk, Jordan, Iraq dan Lubnan.
Menurut laporan, Iran menuntut supaya gencatan senjata itu turut merangkumi serangan ke atas Lubnan dihentikan, namun Tel Aviv menyatakan bahawa gencatan senjata berkenaan tidak melibatkan medan di Lubnan.
-- BERNAMA