BEIRUT: Kempen vaksinasi nasional untuk menangani taun dilancarkan pada Sabtu di utara Lubnan, yang dilanda teruk oleh penyakit itu sejak beberapa minggu lepas, kementerian kesihatan mengumumkan dalam satu kenyataan.

Kempen vaksinasi yang bermula pada waktu pagi di wilayah utara, Akkar, Bekaa dan Baalbek-Hermel, akan berlangsung selama tiga minggu dalam fasa pertama, menurut kenyataan kementerian itu, lapor Xinhua.

Sebanyak 600,000 dos vaksin akan diberikan dalam beberapa minggu akan datang, menurut laman sesawang berita tempatan L'Orient Today memetik Menteri Kesihatan sementara Firass Abiad yang memantau kempen vaksinasi itu.

Menteri juga menekankan mengenai perlunya untuk membersihkan sumber air secara serius.

Taun adalah jangkitan cirit-birit akut yang biasanya merebak melalui air dan makanan yang tercemar oleh najis ekoran pengurusan air sisa yang lemah dan amalan kebersihan yang tidak baik.

Pada 6 Oktober, kementerian kesihatan Lubnan secara rasmi mengisytiharkan wabak taun di bahagian utara negara itu. Setakat ini, semua lapan gabenor Lubnan dan 18 daripada 26 daerah telah mengesahkan kes, menurut kementerian itu.

Wabak taun yang berlaku ketika ini, yang pertama di Lubnan dalam tempoh kira-kira 30 tahun, mencerminkan kemerosotan berterusan kedudukan ekonomi dan akses yang lemah kepada air bersih dan perkhidmatan sanitasi yang sempurna di seluruh negara.

Dalam tempoh dua minggu lepas, wabak itu dilihat semakin stabil di Lubnan, dengan kadar jangkitan telah menurun dan tiada kematian baharu direkodkan sejak 3 November.

Lubnan setakat ini melaporkan 532 kes taun yang disahkan dengan 18 kematian.

-- BERNAMA