WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan undang-undang yang memerlukan Jabatan Perbendaharaan mengetuai analisis antara agensi mengenai pendedahan ekonomi negara itu kepada sektor kewangan China, lapor Sputnik.

Ahli Parlimen meluluskan rang undang-undang (RUU) bertajuk Akta Pengurangan Ancaman Kewangan China itu pada petang Isnin dengan undian 400 menyokong manakala lima membantah.

RUU itu memerlukan sokongan dua pertiga ahli dewan untuk diluluskan.

Perundangan itu memerlukan Setiausaha Perbendaharaan AS berunding dengan ketua Jabatan Negara, Rizab Persekutuan, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa dan Suruhanjaya Dagangan Niaga Hadapan Komoditi, untuk menjalankan kajian mengenai "pendedahan Amerika Syarikat kepada sektor kewangan Republik Rakyat China," menurut teks tindakan berkenaan.

RUU itu menetapkan bahawa setiap laporan yang merangkumi dasar yang diambil oleh AS dalam melindungi kepentingan semasanya ketika China memperbaharui sektor kewangannya, serta analisis risiko terhadap kestabilan kewangan AS dan ekonomi global yang berpunca dari China, perlu dikemukakan kepada Kongres.

Selain itu, RUU berkenaan juga memerlukan cadangan untuk tindakan yang boleh diambil oleh kerajaan AS atau wakilnya di organisasi antarabangsa bagi mengurangkan risiko kestabilan kewangan dan melindungi kepentingan AS.

Mengikut RUU itu Setiausaha Perbendaharaan AS perlu menyerahkan laporan itu kepada Kongres selewat-lewatnya setahun selepas penggubalan undang-undang.

Laporan itu tidak perlu dikelaskan tetapi mungkin mengandungi lampiran terperingkat.

-- BERNAMA