Skip to main content

Bisnes

Margin Gamuda dikhuatiri tertekan berikutan peningkatan kos bahan mentah - CGSI

KUALA LUMPUR 8 April - Peningkatan kos bahan mentah susulan ketidaktentuan geopolitik global kini menjadi isu kritikal yang dikhuatiri menekan margin Gamuda Berhad, menurut CGS International (CGSI).
- Foto Dagang News

KUALA LUMPUR: Peningkatan kos bahan mentah susulan ketidaktentuan geopolitik global kini menjadi isu kritikal yang dikhuatiri menekan margin Gamuda Berhad, menurut CGS International (CGSI).


Firma penyelidikan tersebut berkata, banyak syarikat pembinaan sudah terjejas, namun kumpulan itu dilihat masih lagi mempunyai ‘penampan’ kos yang mencukupi untuk mengekalkan keuntungan buat masa ini.

Advertisement


Jelasnya, syarikat berkenaan kekal berdaya tahan meskipun berdepan tekanan kos, disokong oleh struktur buku tempahan yang sebahagian besarnya mampu menyerap kenaikan tinggi harga bahan mentah.


"Buku tempahan Gamuda sudah RM44 bilion setakat Januari 2026, dengan 61% terdiri daripada projek luar negara berasaskan kos tambah, sekali gus mengurangkan risiko kenaikan kos," kata analisis CGSI.


Bagi projek tempatan pula ujarnya, sekitar 31% adalah kontrak infrastruktur berstruktur sekali bayar yang lebih terdedah kepada kenaikan kos, tetapi ia sudah pun mengambil kira pelbagai faktor tertentu.


Antaranya kata firma penyelidikan itu, ‘penampan’ mencukupi dalam anggaran kos kumpulan tersebut, dengan projek yang paling terkesan ketika ini ialah kerja penambakan Pulau Silikon di Pulau Pinang.


Menurut CGSI, kemajuan kerja berkemungkinan diperlahankan sekiranya harga diesel kekal tinggi, dan setakat ini, projek tersebut mencapai 18% dengan Gamuda menjangka dapat siap menjelang 2030.


"Dari sudut impak kewangan, kami menganggarkan bagi setiap penurunan sebanyak satu mata peratusan margin untuk projek infrastruktur tempatan hanya memberi kesan yang agak kecil," tambahnya lagi.


Angkanya sekitar 1.2% kepada unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2027 hingga 2028, dan pada masa sama, firma penyelidikan itu tidak melihat sebarang penangguhan ketara projek.


Situasi ini kata CGSI, termasuk projek berpotensi seperti loji rawatan air Sabah bernilai RM4 bilion yang disifatkan sebagai dapat diperoleh Gamuda dan dijangka diterima pertengahan 2026.


Selain itu jelasnya, kumpulan berkenaan dilihat terus aktif dalam projek tenaga boleh diperbaharui (RE) di Australia, serta projek rel transit aliran massa (MRT) dan infrastruktur di Taiwan.


"Bagi segmen pusat data DC, kami berpandangan ia berpeluang meraih dua lagi kontrak projek Pearl Computing di Bandar Springhill, dengan syarikat itu dilihat sebagai antara peneraju," ujarnya.


Dalam sektor hartanah kata CGSI, Gamuda mengambil pendekatan berhati-hati ke atas projek baharu susulan tekanan inflasi dan kekangan bekalan, namun kekal optimis terhadap potensi di Vietnam.


Sehubungan itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'tambah' tetapi menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM5.78 sesaham selepas menyemak turun unjuran EPS bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028.


Tambahnya, risiko penurunan termasuk kelewatan penganugerahan kontrak dan kenaikan berterusan kos bahan mentah, manakala pemangkin kenaikan melipui jualan hartanah yang kukuh. - DagangNews.com
 

Must Watch Video