DUNIA
Macron desak pengiktirafan Palestin sebagai "satu-satunya jalan ke arah keamanan"

Macron berkata gencatan senjata adalah perkara yang "amat mendesak" dan penyelesaian dua negara akan membawa keamanan di rantau itu. - Foto AP
LONDON: Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Selasa mendesak pengiktirafan kenegaraan Palestin dalam ucapannya di Parlimen United Kingdom (UK), dengan menyatakan bahawa ia adalah "satu-satunya jalan ke arah keamanan," lapor PA Media/dpa.
Ringkasan AI
- Presiden Emmanuel Macron menyeru UK mengiktiraf negara Palestin dan menyokong gencatan senjata tanpa syarat di Gaza, sebagai satu-satunya jalan ke arah keamanan serantau.
- Setiausaha Luar UK David Lammy enggan tetapkan garis masa pengiktirafan Palestin, sambil menekankan keperluan perubahan di lapangan dan rundingan gencatan senjata yang sedang berlangsung.
- Macron dan UK berbincang isu migrasi, perdagangan dan pertahanan, dengan lawatan ini dilihat sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala pasca-Brexit.
"Tetapi saya ingin jelaskan, menyeru gencatan senjata di Gaza tanpa sebarang syarat pada hari ini adalah untuk memberitahu dunia bahawa bagi kami sebagai orang Eropah, tiada pendirian dua darjat dan kerana kami menghargai nyawa manusia, kerana kami menghargai integriti wilayah, kami mahu gencatan senjata tanpa perbincangan.
"Dan pada hari ini, bekerjasama untuk mengiktiraf negara Palestin dan memulakan momentum politik ini adalah satu-satunya jalan ke arah keamanan."
Macron tiba di UK lebih awal pada Selasa ketika Perdana Menteri Britain Keir Starmer mendesak lebih banyak usaha untuk menghentikan bot-bot kecil daripada menyeberangi Selat Inggeris.
Terdahulu, Setiausaha Luar UK David Lammy enggan menetapkan garis masa bila UK akan mengiktiraf negara Palestin.
Lammy ditanya di Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Rakyat mengenai masa yang sesuai untuk pengiktirafan itu.
"Saya tidak akan menetapkannya pada garis masa tertentu, kerana saya telah menjelaskan bahawa ini adalah situasi yang sedang berubah dan masih berlangsung.
"Terdapat rundingan gencatan senjata yang rumit sedang dijalankan. Saya telah menjelaskan isu-isu yang berkaitan, dan sama ada kita akan mencapai gencatan senjata... saya berharap kita akan dapat melakukannya," katanya.
Lammy berkata beliau sedang berbincang dengan rakan sejawatnya dari Perancis dan Arab Saudi mengenai pengiktirafan itu, tetapi mahu melihat perubahan di lapangan.
Beliau berkata bahawa "walaupun terdapat gerakan pengiktirafan, apa yang kita lihat sebenarnya ialah lebih banyak tindakan pengilhakan di Tebing Barat" dan "ia tidak membawa kita lebih dekat kepada proses (penyelesaian), malah membawa kepada lebih banyak tindakan pengilhakan."
Lammy berkata beliau "lebih suka jika ia menjadi sebahagian daripada proses" dan percaya bahawa "rakan Perancis kami juga sedang menunggu untuk melihat sama ada terdapat, sebenarnya, gencatan senjata dalam beberapa hari akan datang" bagi memulakan proses itu dan bahawa Kerajaan UK kekal "komited sepenuhnya" kepada pengiktirafan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami