DUNIA
Macron tegas pertahan seruan penubuhan negara Palestin, kecam tuduhan Netanyahu

Macron (kiri) mempertahan seruan penubuhan negara Palestin dan menolak tuduhan Netanyahu (kanan) bahawa langkah itu menyemarakkan antisemitisme di Perancis. -Gambar fail
PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron telah mengutus surat terbuka kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, mempertahankan pendiriannya untuk mengiktiraf negara Palestin dan menolak tuduhan bahawa langkah tersebut menyemarakkan antisemitisme di Perancis.
Ringkasan AI
- Presiden Perancis Emmanuel Macron mempertahankan seruan penubuhan negara Palestin dan menolak tuduhan Netanyahu bahawa langkah itu menyemarakkan antisemitisme di Perancis.
- Macron mengecam tindakan Israel di Gaza sebagai perlumbaan perang kekal yang membunuh dan menjatuhkan maruah Israel, serta menyeru penyelesaian dua negara sebagai jalan ke arah keamanan.
- Ketegangan diplomatik meningkat menjelang Sidang Umum PBB, dengan Macron dijangka mengumumkan pengiktirafan rasmi Palestin, sementara Duta AS ke Perancis turut dipanggil berhubung kenyataan mengkritik pendirian Macron.
Macron dalam surat balasnya menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak boleh diterima dan satu penghinaan terhadap seluruh rakyat Perancis.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan menentang antisemitisme adalah keutamaan nasional dan tidak seharusnya dijadikan alat politik.
“Perjuangan menentang antisemitisme tidak boleh diperalatkan dan tidak akan menjadi bahan pertikaian di antara Perancis dan Israel,” tulis Macron.
Presiden Perancis itu turut menyeru Netanyahu agar menghentikan perang di Gaza yang menurutnya telah menyebabkan kemusnahan besar dan menjatuhkan maruah Israel di mata dunia.
Beliau menekankan bahawa penubuhan negara Palestin adalah satu-satunya jalan ke arah keamanan dan keselamatan jangka panjang bagi kedua-dua pihak.
Ketegangan diplomatik di antara Paris dan Tel Aviv semakin memuncak menjelang Sidang Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan depan, di mana Macron dijangka mengumumkan secara rasmi pengiktirafan negara Palestin.
Perancis bakal menyertai lebih 140 negara anggota PBB yang telah mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat.
Dalam perkembangan berkaitan, Duta Amerika Syarikat ke Perancis, Charles Kushner, turut mengkritik pendirian Macron dan telah dipanggil oleh Kementerian Luar Perancis untuk memberikan penjelasan.
Paris menyifatkan kenyataan Kushner sebagai tidak berasas dan tidak wajar.
Macron menutup suratnya dengan menyeru agar pemimpin Israel tidak terus menafikan realiti kemanusiaan di Gaza dan sebaliknya menyertai usaha antarabangsa ke arah penyelesaian dua negara yang adil dan berkekalan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami