RABAT: Maghribi mendakwa penyebaran maklumat mengelirukan, eksploitasi ruang digital secara berat sebelah serta kegiatan sindiket pemerdagangan manusia menjadi antara punca ribuan individu cuba memasuki bandar Sebta dan Mellilia secara tidak sah.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Rachid El Khalfi berkata, hasil analisis mendapati, kejadian itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya didorong gabungan beberapa faktor termasuk salah tafsir terhadap maklumat undang-undang dan pentadbiran.
“Kejadian ini bukan berpunca daripada faktor kebetulan atau berlaku secara spontan, sebaliknya hasil gabungan beberapa faktor termasuk anasir yang mewujudkan tanggapan bahawa kawasan Eropah boleh diakses dengan mudah tanpa sebarang implikasi undang-undang,” katanya memetik laporan Agence Maghreb Arabe Presse pada Rabu.
Menurut beliau, hampir 40,000 individu dikenal pasti menuju ke Sebta, manakala kira-kira 1,135 individu menuju ke Mellilia.
Semua individu yang berjaya memasuki Mellilia telah dihantar pulang.
El Khalfi berkata, salah tafsir terhadap keputusan mahkamah di Sepanyol berhubung pelaksanaan tindakan pengusiran segera terhadap sebahagian pendatang tanpa izin turut mendorong sebahagian individu cuba menyeberangi sempadan dengan berenang.
Setakat ini, insiden itu mengorbankan 11 nyawa termasuk seorang yang maut selepas terjatuh di kawasan berbatu berhampiran Sebta dan 10 lagi akibat lemas.
Pihak berkuasa Maghribi berkata, siasatan masih diteruskan, selain memperkukuh kerjasama dengan Sepanyol bagi menangani migrasi tidak teratur dan pemerdagangan manusia.
Beliau berkata, pihak berkuasa Maghribi telah mengambil langkah proaktif sejak awal dengan meningkatkan kawalan di darat dan laut, selain memperkukuh operasi keselamatan bagi mengawal keadaan serta melindungi keselamatan sempadan.