RABAT: Maghribi mengumumkan pembentukan Kabinet baharu pada Jumaat, mencatat sejarah apabila negara itu buat kali pertama diterajui seorang perdana menteri wanita yang mengetuai gabungan empat parti, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menurut agensi berita rasmi Maghreb Arabe Presse (MAP), Raja Mohammed VI menerima barisan anggota Kabinet baharu yang diketuai Fatima Ezzahra El Mansouri dan mempengerusikan upacara pelantikan di Istana Diraja di Rabat.
El Mansouri merupakan wanita pertama yang memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan Maghribi itu.
Beliau akan mengetuai kerajaan gabungan empat parti yang terdiri daripada Parti Keaslian dan Kemodenan (PAM) pimpinannya, Parti Istiqlal, Kesatuan Sosialis Angkatan Rakyat (USFP) serta Parti Kemajuan dan Sosialisme (PPS).
Kerajaan baharu itu mempunyai tujuh anggota wanita termasuk El Mansouri, berbanding enam dalam pentadbiran terdahulu yang diketuai Aziz Akhannouch.
Menurut angka rasmi, Kabinet baharu itu dianggotai 32 orang, termasuk menteri dan menteri perwakilan.
Abdelouafi Laftit kekal sebagai Menteri Dalam Negeri, manakala Nasser Bourita mengekalkan jawatan Menteri Luar, Abdellatif Ouahbi sebagai Menteri Kehakiman dan Ahmed Toufiq sebagai Menteri Hal Ehwal Islam dan Wakaf.
Kabinet baharu itu turut memperkenalkan Kementerian Kecerdasan Buatan, Transformasi Digital dan Reformasi Pentadbiran yang diterajui Ahmed Rahhou.
Pada Isnin, empat parti berkenaan mengumumkan menerusi kenyataan bersama bahawa mereka berjaya membentuk gabungan majoriti selepas selesai pusingan kedua rundingan pembentukan kerajaan yang bermula pada 30 Sept.
Pada 29 Sept, Raja Mohammed VI memberi mandat kepada El Mansouri untuk membentuk kerajaan selepas PAM muncul sebagai parti yang memenangi kerusi terbanyak iaitu 97 kerusi dalam pilihan raya pada 23 Sept.
-- BERNAMA-ANADOLU